Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan berkaitan talasemia dan pengguguran janin.
Assalamualaikum,
Saya Norhafiza dari Kelana Jaya.
Adakah dibolehkan untuk menggugurkan kandungan yg berumur kurang 120hari, disebabkan medical condition seperti talasemia?
Saya ada terbaca di bahagian QnA, mengenai Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia Kali Ke-52 yang bersidang pada 1 Julai 2002 telah membincangkan MengGugurkan Janin Pembawa atau Pengidap Penyakit Thalassemia.
Statement di bawah saya kurang jelas.
“PengGuguran janin yang berumur sebelum 120 hari adalah harus sekiranya janin itu cacat dan berpenyakit yang boleh membahayakan nyawa ibu.”
Sekiranya ujian pengesanan talasemia yg dibuat sebelum kandungan 120hari, menunjukkan kandungan ialah penghidap talasemia, bermakna kandungan itu berpenyakit.
Tapi saya kurang pasti sekiranya ianya termasuk boleh membahayakan nyawa ibu atau tak.
Pengalaman saya mengandungkan anak kedua yang juga penghidap talasemia semasa itu, semasa mengandung bacaan darah merah saya drop dan saya sangat pucat dan lemah (berbeza dengan pengalaman mengandung anak pertama, yg bukan penghidap talasemia). Adakah itu termasuk dalam kategori membahayakan nyawa ibu?
Semoga ustaz/ustazah dapat beri kecerahan kepada kami.
Terima kasih kami dahulukan, semoga dimudahkan urusan ustaz/ustazah dan seisi keluarga.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Berdasarkan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang kali ke-52 pada 1 Julai 2002 yang membincangkan hukum menggugurkan janin pembawa atau pengidap penyakit Thalassaemia, menyatakan bahawa adalah harus menggugurkan janin yang berumur kurang 120 hari sekiranya janin itu cacat dan berpenyakit yang boleh membahayakan nyawa ibu.
Lantaran itu, timbul persoalan mengenai adakah penyakit talasemia boleh membahayakan nyawa ibu ataupun tidak.
Pertama sekali, puan perlu memastikan sama ada puan penghidap talasemia minor atau major. Hal ini kerana talasemia minor tidak akan merisikokan pesakit berbeza dengan talasemia major. Berdasarkan portal MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia menyatakan bahawa:
Sekiranya puan dan pasangan adalah pembawa talasemia, risiko untuk mendapat anak dengan talasemia major/intermedia adalah 25%. Sekiranya anda seorang pesakit dan pasangan adalah pembawa, risiko untuk mendapat anak dengan talasemia major/ intermedia adalah 50%. Anak dengan talasemia major akan mengalami salah satu keadaan berikut :
Berikutan perkara di atas, dapat disimpulkan bahawa jika puan merupakan pesakit talasemia major, maka sebaiknya janin tersebut digugurkan kerana ia mengancam nyawa ibu dan bayi dalam kandungan. Namun, jika puan hanya penghidap talasemia minor, disarankan untuk tidak menggugurkan janin tersebut kerana ia tidak sampai ke tahap mengancam nyawa. Namun begitu, ada juga penghidap talasemia minor yang mengalami gejala seperti sering berasa penat dan kulit kelihatan pucat.
Justeru itu, puan perlulah meminta nasihat daripada doktor pakar berkenaan status keadaan kesihatan puan yang sebenar bagi menentukan sama ada puan perlu atau tidak memelihara janin tersebut dengan syarat umur janin tersebut mestilah sebelum 120 hari.
والله أعلم بالصواب