BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Salam tuan mufti. Saya hendak bertanya isu najis.

Dulu saya pernah menyentuh barangan babi. Akan tetapi pada waktu itu saya tidak tahu. Beberapa hari kemudian baru tahu itu barangan babi. Tak pernah sertu sebab ingat dimaafkan kerana sentuh tak sengaja. Lepastu jahil bab taharah sebab sebelum tu pernah belajar, tapi tak pernah praktikkan. Lagipun saya masih muda waktu itu. Waktu tu baru berumur 13 tahun.

Lepastu pada tahun 2018, iaitu selepas beberapa tahun, saya terpikir saya tak pernah sertu. Lepastu jadi was was dan gelisah. Sah tak ibadah saya? Semua benda saya sentuh selama bertahun- tahun ni dah jadi bernajis ke kalau tangan basah? Setahu saya, rasanya saya terus sertu tangan saya selepas itu.

Sekarang sudah tahun 2022, saya terfikir balik semua perkara yang membuatkan saya waswas. Walaupun saya rasa seperti dulu saya sudah sertu, tiba- tiba terfikir macam mana kalau sebenarnya saya belum sertu? Saya tidak ingat kerana perkara sudah lama. Bagaimana jika cara sertu tidak sah? Saya juga terfikir status barang-barangan saya. Adakah menjadi najis? Saya takut. Bukankah najis hukmi dari najis mughallazah masih perlu disucikan menggunakan air bercampur tanah dan air mutlak 7 kali? Saya takut jika perlu mensucikan semuanya. Jika saya perlu sertu, adakah saya perlu sertu tangan sahaja? kerana dulu saya hanya menyentuh menggunakan tangan sahaja.
Adakah najisnya berpindah? Kerana sudah bertahun, sudah tentu saya sudah menyentuh banyak barang samada dengan tangan kering mahupun basah. 

 


message user image

Jawapan  

 

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه اجمعين أما بعد

Di dalam Al-Quran, perkataan was-was selalu digandingkan dengan syaitan. Ini memberikan isyarat bahawa was-was itu adalah merupakan bisikan daripada syaitan. Bisikan dan hasutan ini sedaya mungkin dilakukan oleh syaitan sehingga pada satu tahap ia boleh membawa kepada keraguan. Di antara ayat Al-Quran tersebut ialah :

Firman Allah SWT di dalam  surah Toha ayat 120.  :

فَوَسْوَسَ إِلَيْهِ ٱلشَّيْطَـٰنُ قَالَ يَـٰٓـَٔادَمُ هَلْ أَدُلُّكَ عَلَىٰ شَجَرَةِ ٱلْخُلْدِ وَمُلْكٍ لَّا يَبْلَىٰ

Maksudnya: “Setelah itu maka Syaitan membisikkan (hasutan) kepadanya, dengan berkata: "Wahai Adam, mahukah, aku tunjukkan kepadamu pohon yang menyebabkan hidup selama-lamanya, dan kekuasaan yang tidak akan hilang lenyap?"

Oleh kerana itu, penyakit was-was adalah mainan syaitan yang mana ia mendorong manusia agar melakukan kejahatan dan sering mendatangkan keraguan. Di dalam sebuah hadis Nabis SAW pernah menyatakan bahawa syaitan ini sentiasa mendorong manusia melakukan kejahatan dan menjebakkan mereka ke dalam lembah keraguan. Nabi SAW bersabda :

إنَّ لِلشَّيْطَانِ لَمَّةً بِابْنِ آدَمَ، وَلِلْمَلَكِ لَمَّةً فَأَمَّا لَمَّةُ الشَّيْطَانِ، فَإِيعَادٌ بِالشَّرِّ، وَتَكْذِيبٌ بِالحَقِّ، وَأَمَّا لَمَّةُ المَلَكِ، فَإِيعَادٌ بِالخَيْرِ، وَتَصْدِيقٌ بِالحَقِّ، فَمَنْ وَجَدَ ذَلِكَ فَلْيَعْلَمْ أَنَّهُ مِنَ اللَّهِ، فَلْيَحْمَدِ اللَّهَ، وَمَنْ وَجَدَ الأُخْرَى فَلْيَتَعَوَّذْ بِاللَّهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

Maksudnya : “Syaitan itu adalah pendorong dan malaikat adalah pendorong. Syaitan sentiasa mendorong untuk melakukan kejahatan dan membohongi perkara yang benar. Adapun malaikat sentiasa mendorong untuk melakukan kebaikan dan membenarkan perkara yang betul. Barangsiapa yang mendapati dorongan melakukan kebaikan maka ketahuilah itu adalah dari Allah dan pujilah Allah. Barangsiapa yang mendapati dorongan selain dari itu maka mintalah perlindungan pada Allah daripada syaitan yang direjam.” (Riwayat Al-Tirmizi)

Dalam kes ini, jika tuan telah yakin bahawa tuan telah sertu tangan yang terkena najis itu, maka perasaan was-was tersebut perlulah diabaikan.

Ia bertepatan dengan kaedah fiqah :

"اليقين لا يزول بالشك"

Maksudnya: "Keyakinan tidak dapat dihapuskan dengan keraguan".

Bermaksud sesuatu perkara yang sudah diyakini, apabila timbul keraguan selepas itu tidak akan menjejaskan keyakinan yang ada. Ini bermakna adalah sebaiknya tuan menghilangkan perasaan was-was tersebut kerana ia hanyalah perbuatan syaitan yang ingin membolak-balikkan hati manusia. Tambahan pula, perkara tersebut telah lama berlaku iaitu beberapa tahun yang lalu.

والله أعلم بالصواب

 


Tahun Soalan : 2022
Jumlah Pelawat : 340

message user image