BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum.. Jika seseorang bersetubuh dengan haiwan atau hubungan haram sesama jenis pada siang Ramadan dan kemudian dia ingin bertaubat, adakah kafarah dia puasa 2 bulan berturut turut bagi peliwat dan yang di liwat? 


message user image

Jawapan  

 وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan,

Melakukan persetubuhan sesama jenis atau dengan haiwan adalah perbuatan yang haram dan berdosa besar. Lebih-lebih lagi perbuatan keji tersebut dilakukan pada siang hari bulan Ramadhan dalam keadaan sedar, waras dan  tanpa ada  paksaan daripada sesiapa. Maka semua yang terlibat wajib bertaubat kerana telah melakukan dua dosa yang besar iaitu melakukan persetubuhan haram dan mencemarkan kesucian bulan Ramadhan. 

Pada pandangan Jumhur Ulamak, hukuman bagi jenayah liwat adalah sangat berat iaitu hukuman bunuh. Namun ada yang berpandangan bahawa hukuman liwat adalah takzir iaitu bergantung kepada budi bicara hakim. Berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas RA, Rasulullah SAW bersabda

مَنْ وَجَدْتُمُوهُ يَعْمَلُ عَمَلَ قَوْمِ لُوطٍ فَاقْتُلُوا الْفَاعِلَ وَالْمَفْعُولَ بِهِ

Maksudnya: Barang siapa engkau dapati melakukan perbuatan yang diamalkan oleh kaum Nabi Lut (liwat) maka bunuhlah orang yang melakukannya dan orang yang diliwatnya”. (Riwayat Abu Daud, Al-Tirmizi, Ibnu Majah dan Al-Nasa’i)

Begitu juga bagi kesalahan menyetubuhi haiwan. Sebahagian Ulamak berpandangan bahawa hukuman bagi perbuatan keji tersebut adalah hukuman bunuh dan sebahagian yang lain pula adalah takzir. Di dalam satu hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas RA, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ وَقَعَ عَلَى بَهِيمَةٍ فَاقْتُلُوهُ، وَاقْتُلُوا الْبَهِيمَةَ

Maksudnya: Barang siapa yang bersetubuh dengan binatang, maka hendaklah kamu bunuhnya dan bunuhlah binatang itu. (Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Al-Tirmizi)

Dari kedua-dua hadis di atas menunjukkan bahawa perbuatan liwat serta menyetubuhi binatang adalah sesuatu perbuatan yang sangat besar dosa dan kesalahannya.

Di dalam undang-undang negara kita, kesalahan jenayah menyetubuhi haiwan dan liwat termaktub di dalam Kanun Keseksaan (Akta 574). Seksyen 377. Persetubuhan luar tabii dengan haiwan, memperuntukkan bahawa:

[Barang siapa dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii dengan haiwan hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai dua puluh tahun, dan boleh juga dikenakan denda atau sebat].

Di dalam seksyen 377A. Persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii, memperuntukkan bahawa:

[Mana-mana orang yang melakukan persetubuhan seks dengan seseorang yang lain dengan memasukkan zakarnya ke dalam dubur atau mulut seseorang yang lain itu dikatakan melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii].

Seksyen 377a. Seksaan kerana melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii, mengatakan bahawa:

[Barang siapa dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai dua puluh tahun, dan bolehlah juga dikenakan sebat].

Kesalahan jenayah liwat serta menyetubuhi haiwan termaktub di dalam Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995. Di dalam Seksyen 28. Persetubuhan bertentangan dengan hukum tabii, memperuntukkan bahawa:

[Mana-mana orang yang melakukan persetubuhan bertentangan dengan hukum tabii dengan mana-mana lelaki, perempuan atau binatang adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu].

Merujuk kepada soalan yang diajukan, adalah wajib bagi pelaku perbuatan tersebut untuk segera  bertaubat kepada Allah SWT dengan sebenar-benar taubat iaitu taubat hasuha, meninggalkan atau berhenti dari melakukan perbuatan dosa tersebut, menyesali atas dosa yang dilakukan dan berazam untuk tidak mengulangi perbuatan dosa tersebut.

Oleh itu, bagi orang yang melakukan perbuatan tersebut pada siang hari di bulan Ramadhan, maka batal puasanya. Bukan sahaja wajib mengqadha puasa hari itu, tetapi juga dikenakan Kaffarah ke atas orang yang meliwat dan diliwat. 

Kaffarah atau denda yang dikenakan ke atas seorang yang membatalkan puasanya dengan bersetubuh pada siang hari di bulan Ramadhan dengan sengaja adalah sebagaimana urutan berikut:
a) Membebaskan seorang hamba mukmin sama ada lelaki atau wanita (sekarang tidak ada).
b) Jika tidak didapati atau tidak mampu, hendaklah ia berpuasa dua bulan berturut-turut (tanpa selang).
c) Jika tidak mampu, hendaklah ia memberi makan 60 orang miskin dengan setiap orang satu cupak makanan asasi penduduk setempat. Bagi penduduk Malaysia, makanan asasinya ialah beras.

Kewajipan membayar Kaffarah ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, dia berkata:

إِذْ جَاءَهُ رَجُلٌ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ هَلَكْتُ. قَالَ: «مَا لَكَ؟» قَالَ: وَقَعْتُ عَلَى امْرَأَتِي وَأَنَا صَائِمٌ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «هَلْ تَجِدُ رَقَبَةً تُعْتِقُهَا؟» قَالَ: لاَ، قَالَ: «فَهَلْ تَسْتَطِيعُ أَنْ تَصُومَ شَهْرَيْنِ مُتَتَابِعَيْنِ»، قَالَ: لاَ، فَقَالَ: «فَهَلْ تَجِدُ إِطْعَامَ سِتِّينَ مِسْكِينًا». قَالَ: لاَ، قَالَ: فَمَكَثَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَبَيْنَا نَحْنُ عَلَى ذَلِكَ أُتِيَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِعَرَقٍ فِيهَا تَمْرٌ - وَالعَرَقُ المِكْتَلُ - قَالَ: «أَيْنَ السَّائِلُ؟» فَقَالَ: أَنَا، قَالَ: «خُذْهَا، فَتَصَدَّقْ بِهِ» فَقَالَ الرَّجُلُ: أَعَلَى أَفْقَرَ مِنِّي يَا رَسُولَ اللَّهِ؟ فَوَاللَّهِ مَا بَيْنَ لاَبَتَيْهَا - يُرِيدُ الحَرَّتَيْنِ - أَهْلُ بَيْتٍ أَفْقَرُ مِنْ أَهْلِ بَيْتِي، فَضَحِكَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَتَّى بَدَتْ أَنْيَابُهُ، ثُمَّ قَالَ: «أَطْعِمْهُ أَهْلَكَ».

Maksudnya: “Ketika kami duduk di samping Rasulullah SAW, seorang lelaki menemui Baginda, dan berkata: “Wahai Rasulullah! Aku binasa.” Baginda bertanya: “Kenapa?” Jawabnya: “Aku telah menyetubuhi isteriku, sedangkan aku berpuasa.” Dalam riwayat yang lain, dalam bulan Ramadhan. Sabda Baginda: “Adakah kamu boleh mendapatkan hamba untuk dimerdekakan?” Jawabnya: “Tidak.” Baginda bersabda: “Adakah kamu mampu berpuasa dua bulan berturut-turut?” Jawabnya: “Tidak.” Sabda Baginda: “Adakah kamu mampu memberi makan 60 orang miskin?” Jawabnya: “Tidak.” Rasulullah SAW diam seketika. Semasa kami berkeadaan demikian, Nabi memberi sebakul tamar, lalu bersabda: “Di manakah orang yang bertanya tadi?” Lelaki itu menjawab: “Aku.” Sabda Baginda lagi: “Ambillah tamar ini dan sedekahkan.” Lelaki itu berkata: “Adakah ada orang yang lebih fakir daripadaku wahai Rasulullah? Demi Allah, tidak ada keluarga yang lebih fakir daripada keluargaku di antara Timur dan Barat Madinah ini!” Nabi SAW ketawa sehingga kelihatan giginya, lalu bersabda: “Berikan makan tamar itu kepada keluargamu.” (Riwayat Al-Bukhari)

Termasuk dalam erti persetubuhan yang mewajibkan kaffarah ialah: menyetubuhi faraj, dubur (iaitu meliwat), persetubuhan melalui zina atau syubhah atau dalam nikah yang fasid, sama ada menyetubuhi lelaki atau perempuan, manusia atau binatang dengan kadar hilang hasyafah (kepala zakar lelaki).

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih. 

                                                             

 


Tahun Soalan : 2022
Jumlah Pelawat : 450

message user image