BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, saya sering dengar tentang batasan pergaulan lelaki dan perempuan, diantaranya adalah aman dari fitnah. Soalan saya, apakah yang dimaksudkan dengan "fitnah" dalam konteks ini?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه اجمعين أما بعد

Hidup ini Allah S.W.T ciptakan untuk menguji siapakah di antara manusia yang paling baik amalannya. Allah S.W.T akan menguji manusia dengan kebaikan dan keburukan sebagai bentuk fitnah atau ujian dan kepada Allah S.W.T kelak setiap manusia akan kembali. Ada banyak fitnah di muka bumi ini, antaranya fitnah kemiskinan, kemewahan, kejayaan, harta, anak, peperangan, banjir,  gempa bumi, wanita, kebakaran, kematian, kehilangan, kesakitan, kesempitan dan berbagai macam fitnah lainnya.

Allah S.W.T menjadikan wanita apabila dilihat akan menimbulkan keinginan (syahwat) dan kaum lelaki mudah tergoda dengan mereka. Untuk itu, fitnah wanita adalah fitnah yang dahsyat kerana pada dirinya semua fitnah seperti suaranya, rupa parasnya, pergerakannya dan sebagainya. Ini dikuatkan lagi oleh ayat al-Quran di dalam surah Ali 'Imran ayat 14:

" زُيِّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ الشَّهَوٰتِ مِنَ النِّسَاۤءِ وَالْبَنِيْنَ وَالْقَنَاطِيْرِ الْمُقَنْطَرَةِ مِنَ الذَّهَبِ وَالْفِضَّةِ وَالْخَيْلِ الْمُسَوَّمَةِ وَالْاَنْعَامِ وَالْحَرْثِ ۗ ذٰلِكَ مَتَاعُ الْحَيٰوةِ الدُّنْيَا ۗوَاللّٰهُ عِنْدَهٗ حُسْنُ الْمَاٰبِ "

Maksudnya: " Dijadikan terasa indah dalam pandangan manusia cinta terhadap apa yang diinginkan, berupa perempuan-perempuan, anak-anak, harta benda yang bertumpuk dalam bentuk emas dan perak, kuda pilihan, haiwan ternakan dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik." 

Dari sudut yang lain, fitnah  wanita ini tidak menggambarkan wanita ini tiada kemuliaan atau sangat teruk sehingga menyebabkan lelaki terpesona dan terjatuh ke dalam fitnah wanita. Bahkan Islam sangat memuliakan dan meninggikan kedudukan wanita. Baginda Nabi SAW bersabda maksudnya: "Dunia adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita yang solehah."‏ (Riwayat Muslim)

Imam al-Qurtubi menjelaskan maksud wanita solehah ini adalah wanita yang menggembirakan suami apabila dilihat, apabila diberi arahan dia taat dan apabila ketiadaan suaminya dia memelihara (kehormatan suaminya) pada dirinya dan hartanya.

Nabi SAW bersabda maksudnya: "Hendakkah kamu aku beritahu tentang sebaik-baik harta seorang lelaki adalah wanita yang solehah. Apabila dia melihat kepadanya, dia akan menggembirakan, apabila dia memberi arahan kepadanya wanita itu taat dan apabila dia tidak berada di sisinya, wanita itu menjaga maruah dirinya." (Riwayat Abu Daud)

Justeru, fitnah wanita ini adalah gambaran daripada Baginda Nabi SAW kepada manusia akhir zaman yang melihat kepada wanita dengan pandangan yang sangsi dan merosakkan. Dalam masa sama, gambaran ini merujuk kepada wanita yang tidak mempedulikan maruah diri sehingga menyebabkan terjatuhnya lelaki ke dalam fitnah wanita apabila memandangnya.

Untuk itu sebaik-baik wanita ialah yang bertakwa dan menjaga maruah diri daripada terjatuh ke dalam jurang fitnah yang membinasakan.

Allah SWT memulakan cinta syahwat itu bermula dari wanita, sebelum menyebutkan emas, perak, kenderaan dan pertanian. Kenapa wanita? Kerana manusia selalu mencintai dan menganggap indah segala sesuatu yang berkaitan dengan syahwat, fikirannya selalu mengarah kepada syahwat. Allah SWT menyatakan kecintaan manusia terhadap wanita yang pertama menunjukkan fitnah yang sangat luar biasa daripada wanita. 

Disebabkan itu, Rasulullah S.A.W berpesan kepada kaum lelaki supaya mereka berhati-hati atau menjauhkan diri daripada melihat wanita yang bukan-mahramnya, berdua-duan dengannya, bercampur baur dengan mereka dan seumpamanya. Sehinggakan Allah swt memerintahkan kepada lelaki mahupun perempuan untuk menjaga pandangannya. Sekiranya kita terlihat lawan jenis, maka cepat-cepatlah alihkan pandangan tersebut sebelum syaitan memasuki dan mempengaruhi fikiran serta hati kita. Dan, segeralah mohon perlindungan dan kemaafan kepada Allah swt agar kita terpelihara dari godaan tersebut.

 Firman Allah SWT di dalam surah al-Nur ayat 30:

قُلْ لِّلْمُؤْمِنِيْنَ يَغُضُّوْا مِنْ اَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوْا فُرُوْجَهُمْۗ ذٰلِكَ اَزْكٰى لَهُمْۗ اِنَّ اللّٰهَ خَبِيْرٌۢ بِمَا يَصْنَعُوْنَ

Maksudnya: "Katakanlah kepada orang lelaki yang beriman, hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya, yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka lakukan".

Dalam hadis yang lain, Nabi Muhammad SAW bersabda :

ما نَهَيْتُكُمْ عنْه فاجْتَنِبُوهُ، وَما أَمَرْتُكُمْ به فافْعَلُوا منه ما اسْتَطَعْتُمْ

Maksudnya“Apa yang aku larang kamu lakukan, hendaklah kamu jauhi dan apa yang aku perintahkan kepadamu, maka lakukanlah sesuai kemampuan kamu.” (Riwayat Muslim).

Fitnah dalam konteks batasan pergaulan antara lelaki dan perempuan bermaksud tidak melakukan perkara yang dilarang atau perkara yang boleh membawa kepada perkara yang dilarang dari segi syarak dalam sebarang bentuk kemaksiatan mahupun kemungkaran. 

Antara perkara yang dilarang adalah:

1) Berdua-duaan sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لاَ يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إِلاَّ كَانَ ثَالِثَهُمَا الشَّيْطَانُ

Maksudnya: "Ketahuilah bahawa tidaklah berdua-duan seorang lelaki dan seorang perempuan itu melainkan yang ketiganya adalah syaitan". (Riwayat Al-Tirmizi)

2) Melihat aurat sebagaimana firman Allah SWT di dalam Surah al-Nur: ayat 30-31:

قُلْ لِلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ذَلِكَ أَزْكَى لَهُمْ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ. وَقُلْ لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ.

Maksudnya:" Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang mereka kerjakanDan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka ".

3) Bersentuhan atau bersalaman.

4) Pergaulan bebas.

5) Berhubungan melalui telefon atau video call tanpa sebarang keperluan.

6) Bergurau senda.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2022
Jumlah Pelawat : 344

message user image