BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

ASSALAMUALAIKUM

SAYA ADA MENGAMBIL ANAK ANGKAT DAN SEKARANG BERUSIA 9 TAHUN

SAYA TIDAK BERJAYA MENYUSUKAN ANAK ANGKAT SAYA

ISTERI KEPADA ABANG SAYA (KAKAK IPAR) BERJAYA MENYUSUKAN ANAK ANGKAT SAYA MENGIKUT SYARAT YANG DI TETAPKAN

ADAKAH SAYA DAN ANAK DIKIRA MAHRAM DENGAN ANAK SAYA?

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاتة

الحمدلله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المريلين وعلي أله وصحبه أجمعين أما بعد

Susuan (radha’ah) merupakan salah satu sebab menjadikan seseorang itu haram untuk dikhawini selama-lamanya (muharramah muabbadah). Ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

يَحْرُمُ مِنَ الرَّضَاعِ مَا يَحْرُمُ مِنَ النَّسَبِ

Maksudnya: Menjadi mahram kerana/melalui penyusuan, sebagaimana menjadi mahram kerana/melalui nasab.

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Terdapat beberapa perempuan yang haram nikahi disebabkan susuan sekiranya mencukupi syarat susuan menurut syarak seperti lima kali kenyang dan umur kanak-kanak tidak melebihi 2 tahun qamariah, iaitu:

1. Ibu susuan, iaitu perempuan yang menyusukan kanak-kanak itu. Ini termasuk Ibu kepada ibu susuan (nenek susuan) dan ke atas sama ada dari sebelah ibu atau bapa.

2. Anak perempuan susuan, iaitu kanak-kanak perempuan yang menjadi anak susuan isteri.

3. Saudara (adik-beradik) perempuan susuan, iaitu anak perempuan kandung ibu susuan, anak perempuan susuan ibu susuan atau anak perempuan susuan ibu kandung.

4. Ibu saudara susuan sebelah bapa, iaitu saudara (adik-beradik) perempuan ibu susuan sebelah bapa.

5. Ibu saudara susuan sebelah ibu, iaitu saudara (adik-beradik) perempuan ibu susuan sebelah ibu.

6. Anak perempuan susuan saudara (adik-beradik) lelaki.

7. Anak perempuan susuan saudara (adik-beradik) perempuan.

Merujuk kepada persoalan puan, anak susuan yang telah disusukan oleh kakak ipar puan menjadi anak susuan kepada suaminya iaitu abang puan. Hubungan anak susuan abang puan terhadap puan adalah ibu saudara susuan sebelah bapa. Ini bermakna puan telah menjadi mahram kepada anak susuan abang puan. Sebagaimana hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah RA:

اسْتَأْذَنَ عَلَيَّ أَفْلَحُ فَلَمْ آذَنْ لَهُ فَقَالَ أَتَحْتَجِبِينَ مِنِّي وَأَنَا عَمُّكِ، فَقُلْتُ وَكَيْفَ ذَلِكَ؟ قَالَ أَرْضَعَتْكِ امْرَأَةُ أَخِي بِلَبَنِ أَخِي، فَقَالَتْ سَأَلْتُ عَنْ ذَلِكَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ صَدَقَ أَفْلَحُ ائْذَنِي لَهُ

Maksudnya: “Aflah meminta izin untuk masuk menemui aku (Aisyah) tetapi aku tidak benarkan. Lalu Aflah menjawab, “Mengapa engkau berhijab daripadaku sedang aku ialah bapa saudaramu? Isteri saudaraku pernah menyusukanmu dengan susu saudaraku!” Kata Aisyah: Lalu aku bertanya Rasulullah SAW hal itu dan dia berkata, “Benar kata Aflah, berikanlah izin dia untuk masuk."  (Riwayat al-Bukhari)

والله أعلم بالصواب

 


Tahun Soalan : 2022
Jumlah Pelawat : 158

message user image