BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

 

Assalamualaikum, Pretzel ada unsur agama Kristian. Apa hukum memakannya? Kemudian, apa hukum bermain pemainan dalam talian yang dalamnya ada kartun seperti manusia dan haiwan. Mohon pencerahan. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Allah SWT memerintahkan kepada umatnya untuk mencari sumber rezeki yang paling baik dan halal. Setiap makanan yang dimakan akan menjadi darah daging kepada seseorang. Hal ini kerana, jika seseorang memakan makanan yang haram dan syubhah maka hatinya akan menjadi gelap. Sebagaimana sabda Nabi SAW bersabda :

الْحَلاَلُ بَيِّنٌ وَالْحَرَامُ بَيِّنٌ وَبَيْنَ ذَلِكَ أُمُورٌ مُشْتَبِهَاتٌ لاَ يَدْرِي كَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ أَمِنَ الْحَلاَلِ هِيَ أَمْ مِنَ الْحَرَامِ فَمَنْ تَرَكَهَا اسْتِبْرَاءً لِدِينِهِ وَعِرْضِهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Di antara keduanya terdapat perkara-perkara yang syubhah (samar-samar) yang tidak diketahui oleh orang banyak. Maka siapa yang takut terhadap syubhah bererti dia telah menyelamatkan agamanya dan kehormatannya. Dan siapa yang terjerumus dalam perkara syubhah, maka akan terjerumus dalam perkara yang diharamkan”. (Riwayat Muslim)

Berdasarkan persoalan saudara, hukum memakan makanan yang diketahui status halal (Halal JAKIM) adalah harus. Bagaimanapun apabila diketahui tujuan suatu perniagaan itu adalah untuk menyebarkan agama lain selain Islam atau kefahaman yang bertentangan dengan Syara', maka terdapat unsur syubhah di situ. Bersubahat atau bekerjasama dalam usaha penyebaran agama selain Islam adalah dilarang. Bagi mengelakkan sebarang keraguan dan was-was adalah lebih baik sekiranya mengelakkan diri daripada terlibat dalam segala urusan jual beli ini. Hadis yang diriwayatkan oleh Nu'man bin Basyir r.a, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

فَمَنِ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ، وَعِرْضِهِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang memelihara dirinya daripada sebarang syubhah maka sebenarnya dia telah menyelamatkan agama dan maruahnya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Seterusnya, hukum asal bermain permainan atas talian adalah diharuskan. Ini berpandukan dalam kaedah fiqhiyah :

الأصل في الأشياء الإباحة حتى يدل الدليل على التحريم

Maksudnya: “Hukum asal sesuatu perkara adalah diharuskan, sehingga datang dalil (yang menunjukkan) pengharamannya”.

Namun, boleh jatuh haram sekiranya permainan atas talian itu membawa kepada perkara haram: 

  1. Mengabaikan tanggungjawab terhadap perkara yang diwajibkan.
  2. Mempunyai unsur perjudian dan khianat.
  3. Faktor ketagihan yang melampau.
  4. Hilang fokus terhadap realiti dan masyarakat sekeliling.
  5. Mendatangkan kemudharatan terhadap tubuh badan dan kesihatan.
  6. Menghilangkan akhlak sebagai seorang Muslim.

Ini berdasarkan kepada kaedah fiqah:

ما أدى إلى الحرام فهو حرام

Maksudnya: “Sesuatu perkara yang membawa kepada yang haram, maka perkara tersebut hukumnya adalah haram”.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.  


Tahun Soalan : 2022
Jumlah Pelawat : 140

message user image