Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum ustaz, saya ingin bertanya. Saya ada sebuah perniagaan. Perniagaan ini di dalam ssm didaftar 4 orang nama. Pertama, saya. Kedua isteri saya, ketiga rakan isteri saya dan keempat majikan kepada isteri saya. Nama ketiga, rakan isteri saya dari mula buka perniagaan telah nyatakan secara lisan, bahawa dia tidak mahu apa apa pun dari perniagaan ini. Dan perniagaan ini adalah perniagaan saya dan isteri saya. Dia hanya ingin membantu sahaja.Nama keempat, secara lisan juga menyatakan, dia tidak mahu apa apa dari perniagaan ini. Hanya inginkan doa dari kami bertiga sekiranya dia sudah tiada kelak. Tambahnya lagi, dia sudah berikan pancing (sebiji mesin dan wang memulakan perniagaan) pandai pandailah saya usahakan. Dia hanya sebagai penasihat sahaja. Bermula dari mesin 1head sahaja perniagaan saya uruskan,dibantu isteri dan rakan (nama ke 3) kerja tidak mengira masa, dan mampu membayar ansuran bulanan mesin lebih besar 6head sehinggalah selesai hutang. Alhamdulillah, perniagaan kami usaha tiada hutang tertunggak dengan pembekal. Walaupun kawan isteri dan majikan isteri saya dari awal sudah mengatakan tidak mahu apa apa dari perniagaan ini, saya tetap berikan elaun secara bulanan sebagai tanda penghargaan dari saya.Setelah perniagaan agak bagus, selain dari gaji bulanan. Saya ada menggunakan wang dari perniagaan ini untuk tujuan peribadi saya. Namun baru baru ini, ada berlaku pertelingkahan antara isteri saya dan kawan nya (nama ketiga). Akhirnya majikan isteri saya (nama keempat) masuk campur dan mengambil keputusan menutup perniagaan ini dan mula mempersoalkan semua kewangan. Mereka menuduh saya tak jujur. Pecah amanah. Dan ambil duit sesuka hati tanpa berbincang. Sedangkan dari awal2 mereka sendiri dah cakap yang mereka tidak mahu apa2 pun dari perniagaan nie. Dan pandai2 la saya uruskan perniagaan ni. Hinggakan mesin kecil yang diberi diambil semula dan mesin baru yang lebih besar yang dibayar hasil dari perniagaan yg diusahakan juga turut diambil. Soalan saya ustaz. 1. Halal atau tidak duit yang saya ambil dari perniagaan selain dari gaji asas. 2. Halal atau tidak majikan isteri saya mengambil semula mesin yg diberikan. 3. Apakah status mesin yang lebih besar hasil perniagaan yg saya usahakan itu. Adakah nama ke ketiga dan ke empat punya hak. 4. Apakah status hak perniagaan itu dalam islam kerana nama mereka ada di dalam ssm.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, secara umumnya sebuah syarikat yang diwujudkan terbina di atas kontrak setiap pihak yang terlibat melibatkan modal, kerja, peranan setiap pemodal, gaji dan upah serta kadar keuntungan setiap pemodal. Semua persoalan yang dikemukakan akan kembali kepada kontrak tersebut. Umumnya, setiap nama yang terlibat (dalam kes ini 4 orang) dianggap sebagai rakan kongsi dalam menjalankan sesuatu kerja. Setiap daripada mereka mempunyai hak, peranan dan tanggungjawab masing-masing seperti yang dipersetujui bersama. Oleh sebab itu, Islam amat menuntut agar setiap kontrak itu ditulis dan dipersaksikan untuk rekod masa hadapan dan sebagai panduan jika berlaku sebarang perselisihan. Berdasarkan maklumat tuan, penama ke-3 dan penama ke-4 telah bersetuju menjadi rakan kongsi dan menyerahkan segala urusan syarikat kepada tuan dan isteri untuk mengendalikannya. Menyerahkan urusan syarikat tidak sama dengan melepaskan pegangan dalam syarikat tersebut dengan menyerahkan modal dan menggugurkan nama sebagai ahli syarikat. Dalam menguruskan sesebuah syarikat, seseorang pengurus itu masih tertakluk kepada peraturan syarikat dan bertanggungjawab terhadap semua pemodal. Justeru itu : 1. Pengurus syarikat hanya boleh mengambil upah melalui gaji dan peruntukan-peruntukan lain yang dibenarkan oleh syarikat. 2. Pemodal akan mendapat keuntungan daripada kadar keuntungan syarikat yang dibahagi secara bersama mengikut kadar modal masing-masing atau kontrak yang dipersetujui. 3. Setiap orang berhak untuk keluar daripada syarikat dengan mengeluarkan modal masing-masing sebagaimana penama ke-4 mempunyai hak untuk keluar daripada syarikat dengan mengambil kembali modalnya iaitu sebuah mesin. 4. Berdasarkan kenyataan, tidak jelas jenis syarikat yang ditubuhkan. Namun, ia mirip kepada syarikat ‘amal al-inan. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.