Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum tuan,
Saya ingin memohon pencerahan dari pihak tuan berkaitan masalah puasa. Saya mempunyai fibroid dalam rahim saya yang menyebabkan saya mengalami haid yang banyak dan tempoh haid yang panjang sehingga 15 hari. Pada bulan Januari 2022, doktor telah memberi pil hormon yang bertujuan untuk menghentikan darah haid saya untuk tempoh 3 bulan sebelum saya menjalani pembedahan membuang fibriod. Malangnya ubat tersebut tidak berkesan pada saya dan menyebabkan saya telah mengalami pendarahan setiap hari tanpa ada tanda-tanda hendak berhenti. Sehingga sekarang iaitu bulan April 2022 ini, saya masih mengalami pendarahan setiap hari tanpa gagal. Saya juga tidak dapat kenal pasti lagi darah yang keluar ini adakah darah haid atau darah penyakit kerana setiap hari kadar darah yang keluar adalah sama. Tidak ada hari yang lebih banyak keluar atau ada hari yang sedikit sahaja keluar darah.
Disebabkan sekarang ini bulan puasa (April 2022), saya ingin bertanya bagaimana cara saya hendak berpuasa dan menggantikan puasa. Adakah boleh saya berpuasa penuh 30 hari atau saya perlu juga menggantikan puasa selama 30 hari atau 15 hari mengikut jumlah hari maksimum kelur darah haid disebabkan darah yang keluar setiap hari tanpa henti ini.
Mohon pencerahan tuan dan kerjasama tuan dalam perkara ini amatlah saya hargai. Terima kasih.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
..الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada persoalan, dapat difahami bahawa pendarahan yang keluar setiap hari tersebut adalah disebabkan daripada penyakit yang puan alami. Bagi membezakan di antara darah penyakit dan darah haid puan perlu peka terhadap beberapa perkara di antaranya adalah puan perlu melihat kepada sejarah perjalanan dan kitaran haid puan pada bulan-bulan sebelum ini. Puan juga perlu melihat kepada warna darah yang keluar tersebut adakah ia mempunyai cici-ciri darah haid yang menjadi kebiasaannya. Tempoh atau bilangan hari haid puan sebelum ini juga boleh menjadi faktor dalam menentukan sama ada darah tersebut adalah darah haid atau darah penyakit.
Dalam situasi puan di mana pendarahan berterusan keluar, puan boleh menggunakan pendekatan tempoh haid yang menjadi kebiasaan puan pada sebelum ini.
Puan hendaklah jadikan haid dan suci terakhir puan sebelum terjadinya gejala ini untuk dijadikan panduan, di mana ia akan dikira sebagai adat haid puan.
Kami tidak jelas bilakah kali terakhir haid puan yang normal dan bilakah bermula gejala darah berterusan setelah pengambilan pil hormon. Oleh kerana puan mengatakan darah-darah itu tidak boleh dibezakan lagi maka puan mestilah menjadikan adat haid dan suci puan sebagai panduan. Oleh itu kami membuat contoh berikut untuk panduan puan.
Katakanlah sebelum pengambilan pil hormon haid terakhir puan ialah 1-15 Dis, kemudian 16-31 Dis suci. Kemudian 1 Januari keluar darah dan sehingga kini darah masih tidak berhenti, dan darah-darah itu tidak dapat dibezakan.
Ini bererti haid terakhir puan ialah 15 hari dan merupakan maksimum haid. Manakala suci terakhir puan dari 16-31 Dis ialah 16 hari. Ini adalah adat haid puan iaitu haid 15 hari dan suci 16 hari. Bererti kitaran haid puan ialah 31 hari. Kitaran haid mungkin lebih lagi jika suci puan yang terakhir lebih dari 16 hari.
Puan akan menggunakan kitaran ini sebagai panduan bagi darah yang bergejala selepas ini.
Oleh itu dari 1 Januari sehingga 15 Januari jadikan ia sebagai haid. Kemudian dari 16 Jan hingga 31 Jan jadikan ia sebagai suci. Begitulah seterusnya dari 1 Feb hingga 15 Feb adalah haid, dan dari 16 Feb hingga 3 Mac (16 hari) jadikan ia suci. Dari 3 Mac hingga 17 Mac adalah haid, dan dari 18 Mac hingga 2 April adalah suci, dan begitulah seterusnya selagi darah itu tidak berhenti mengambil kira kitaran 15 hari haid dan 16 hari suci.
Berpandukan contoh yang diberikan jika puasa puan jatuh pada hari-hari haid maka hendaklah diqada' semula, dan yang jatuh pada hari-hari suci dikira sah.
والله أعلم بالصواب