Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, saya ada 2 soalan
1. Saya seorang perempuan yang belum berkahwin, dahulu saya sering melakukan onani tetapi saya tak pasti sama ada keluar air mani atau tidak. Saya juga tidak melakukan mandi wajib. Bagaimana dengan ibadah solat dan puasa saya?
2. Adakah perempuan boleh keluar mani disebabkan oleh persetubuhan dan mimpi basah sahaja? Bagaimana kalau saya sering ragu ragu sama ada keluar mani atau tidak ketika saya memikirkan benda benda yang membangkitkan syahwat?
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاتة
الحمدلله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المريلين وعلي أله وصحبه أجمعين أما بعد
1) Mengenai perkara ini, Imam al-Nawawi telah menyatakan di dalam kitabnya bahawa :
وَلَوْ أَنْزَلَتْ الْمَرْأَةُ الْمَنِيَّ إلَى فَرْجِهَا فَإِنْ كَانَتْ بِكْرًا لَمْ يَلْزَمْهَا الْغُسْلُ حَتَّى يَخْرُجَ مِنْ فَرْجِهَا لِأَنَّ دَاخِلَ فَرْجِهَا فِي حُكْمِ الْبَاطِنِ وَلِهَذَا لَا يَلْزَمُهَا تَطْهِيرُهُ فِي الِاسْتِنْجَاءِ وَالْغُسْلِ فَأَشْبَهَ إحْلِيلَ الذَّكَرِ وَإِنْ كَانَتْ ثَيِّبًا لَزِمَهَا الْغُسْلُ لِأَنَّهُ يَلْزَمُهَا تَطْهِيرُ دَاخِلِ فَرْجِهَا فِي الِاسْتِنْجَاءِ فَأَشْبَهَ الْعُضْوَ الظَّاهِرَ
Maksudnya : “Jika seorang perempuan itu telah keluar air mani sehingga sampai ke farajnya, maka sekiranya dia seorang anak dara (belum pernah berkahwin dan disetubuhi), tidak wajib ke atasnya untuk mandi sehinggalah air mani tersebut keluar daripada farajnya kerana bahagian dalam farajnya mengambil hukum bahagian anggota dalam (bukan zahir dan nampak). Oleh kerana itu, tidak wajib ke atasnya membersihkan bahagian dalam farajnya ketika beristinja’ dan mandi wajib sepertimana hukum urethra (saluran kencing) zakar. Manakala sekiranya dia seorang thayyib (pernah berkahwin dan disetubuhi), wajib ke atasnya untuk mandi kerana diwajibkan juga ke atasnya untuk membasuh bahagian dalam farajnya ketika beristinja’. Maka ia menyerupai hukum anggota zahir (yang nampak).” (al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab)
Adapun, jika saudari tidak pasti sama ada keluar air mani atau tidak, ada beberapa tanda yang telah disebutkan oleh para ulama yang menunjukan bahawa ia adalah air mani dan wajib ke atas sesiapa yang ada salah satu daripada tanda-tanda ini untuk mandi wajib, tidak kira sama ada lelaki mahupun perempuan. Tanda-tandanya ialah :
Perlu difahami bahawa 'air mani' perempuan bukanlah seperti air mani lelaki yang mengandungi benih atau sel pembiakan (sperma) bagi menghasilkan zuriat. Penggunaan istilah 'air mani' kepada perempuan merujuk kepada makna dari segi bahasa Arab iaitu air yang memancut. Ia merujuk kepada air yang dikeluarkan oleh seseorang perempuan ketika mencapai klimak sama ada melalui hubungan kelamin, mimpi basah mahupun onani.
Oleh itu, sekiranya perempuan tersebut tidak pasti atau waswas terhadap air yang keluar sama ada air mani atau mazi selepas beronani. Juga tidak terdapatnya sebarang rasa atau tanda-tanda lain yang menunjukkan bahawa air maninya telah pun keluar. Dalam kes ini, perempuan tersebut diberi pilihan sama ada cenderung untuk menganggapnya sebagai air mani atau air mazi;
i) Sekiranya dia cenderung untuk menganggapnya sebagai air mani, maka wajib ke atasnya untuk mandi.
ii) Sekiranya dia cenderung untuk menganggapnya sebagai air mazi, maka wuduknya telah terbatal dan perlu membasuhnya.
iii) Adalah lebih baik (afdhal) untuk dia menghimpunkan kedua-duanya sekali iaitu mandi wajib dan membasuh bahagian yang terkena air tadi. Pilihan yang ketiga ini lebih selamat dan keluar daripada khilaf.
Hukum bagi ibadah solat dan puasa saudari adalah berdasarkan kepada keputusan saudari sendiri sebagaimana yang telah diterangkan di atas kerana masing-masing akan dipertanggungjawabkan tentang apa yang telah mereka lakukan.
2) Perempuan tidak keluar air mani dengan sebab persetubuhan dan mimpi basah sahaja, bahkan onani juga boleh menyebabkan perempuan keluar air mani. Jika sering ragu-ragu, buatlah keputusan berdasarkan tanda-tanda air mani yang telah dijelaskan tadi.
والله أعلم بالصواب