BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum,

Saya mempunyai masalah kekeliruan dengan pendarahan dalam bulan kitaran haid yang berlaku kebelakangan ini dan perlukan kepastian berkenaan status pendarahan yang berlaku pada diri saya.

Saya mempunyai kitaran haid yang normal, kebiasaanya kitaran haid saya 29hari hingga 31hari setiap bulan. Bulan terkini saya telah mula haid pada 21 mac hingga 31 mac (11hari), 1 april hingga 7 april saya solat dan mula berpuasa memandangkan saya telah bersih dari haid. Pada 8 april iaitu hari kitaran saya yang ke 19 telah berlaku pendarahan ringan bewarna merah dan 9 april hingga 15 april pendarahan ringan bewarna coklat. Pada 16 april iaitu hari kitaran yang ke 26 berlaku pendarahan bewarna merah dan saya dapati pendarahan ini seperti kebiasaan haid walaupun awal dari tarikh sepatutnya anggaran haid saya yang seterusnya iaitu pada 20 april.

Saya inginkan kepastian, apa status puasa dan solat saya ketika berlaku pendarahan ringan yang bermula dari 8 april hingga 15 april?. Jika pendarahan yang berlaku dalam tempoh ini dikira sebagai istihadah adakah saya perlu menggantikan puasa dan solat saya. Adakah saya dikenakan fidyah atau saya hanya perlu menggantikan puasa sahaja? Bagaimana dengan puasa yang perlu berbuka kerana ujian kesihatan, kerana pada 14 april saya diminta untuk berbuka oleh doktor yang memeriksa saya? Adakah sama saya dikenakan fidyah?


Bagaimana dengan pendarahan yang berlaku bermula 16 april hingga hari ini 18 april, adakah sudah boleh dikategorikan sebagai darah haid memandangkan pendarahan itu berlaku seperti kebiasaan haid saya walaupun awal dari tarikh sepatutnya?.

Mohon bantuan pencerahan dari pihak tuan atas masalah kekeliruan situasi yang berlaku pada saya. Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاتة

الحمدلله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المريلين وعلي أله وصحبه أجمعين أما بعد

Secara umumnya, tempoh haid terbahagi kepada tiga bahagian iaitu minimum, maksimum dan kebiasaan. Tempoh minimum haid adalah sehari semalam iaitu 24 jam, tempoh maksimum haid ialah 15 hari 15 malam dan kebiasaan haid adalah 6 atau 7 hari. Manakala tempoh minimum suci antara dua haid ialah 15 hari, maksimum suci antara dua haid ialah tiada had dan  tempoh suci kebiasaan haid ialah menyempurnakan baki sebulan selepas haid  iaitu 23 atau 24 hari.

Berdasarkan kepada keadaan dan situasi yang puan nyatakan, kami berpandangan seperti berikut:

  1. Pendarahan yang berlaku pada 8 April - 15 April adalah merupakan darah istihadah. Ini adalah kerana ia belum melepasi tempoh minimum waktu suci, 15 hari (1 April hingga 7 April hanya 7 hari waktu suci). Dalam tempoh ini adalah waktu suci. Justeru, boleh puasa dan solat seperti biasa. Jika dalam tempoh tersebut  puan tidak berpuasa serta solat, maka puan dikehendaki untuk mengqada’nya.  Tidak dikenakan fidyah sekiranya puan mengqada’ puasa tersebut sebelum bertemu dengan Ramadhan yang akan datang. Untuk setiap kali solat, hendaklah bersihkan dahulu darah, kemudian berwuduk dan terus solat. Satu wuduk untuk satu solat fardhu sahaja.
  2. Manakala pendarahan yang berlaku bermula pada 16 April adalah haid kerana puan sedia maklum ia adalah pendarahan seperti kebiasaan haid puan walaupun awal dari tarikh sepatutnya. Ini adalah kerana ia telah melepasi tempoh minimum waktu suci, 15 hari (1 April hingga 15 April adalah 15 hari, mencukupi syarat minimum tempoh waktu suci).
  3. Oleh itu, pada 14 April jika tidak berpuasa, maka ia perlu diganti kerana ia adalah dalam tempoh waktu suci. Ganti puasa sebelum bulan Ramadhan akan datang agar tidak dikenakan fidyah.

والله أعلم بالصواب

 


Tahun Soalan : 2022
Jumlah Pelawat : 253

message user image