Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum WBT,
Saya mempunyai kekeliruan mengenai hukum berkaitan pengeluaran wang e-Pemula, di mana sebuah tweet (https://twitter.com/adhamrafiq99/status/1513429302444195841?s=21) mengatakan ianya haram untuk memindahkan wang e-Pemula ke akaun bank sendiri atau orang lain dengan tujuan untuk mengeluarkan semula wang secara fizikal atau memindahkan semula ke aplikasi e-dompet untuk tujuan pembelian atas talian. Ia dikatakan haram kerana melanggar objektif e-Pemula yang ditetapkan kerajaan iaitu untuk menggalakkan pembelian secara tanpa tunai di kedai-kedai fizikal. Walau bagaimanapun, kredit e-Pemula ini mempunyai tarikh luput iaitu pada 10 Jun 2022 dan kredit tersebut akan dikembalikan kepada kerajaan sekiranya tidak digunakan. Dengan mengambil kira kebanyakan belia tinggal di kawasan pedalaman dan tiada akses kepada kedai-kedai yang menyediakan perkhidmatan pembayaran tanpa tunai, ia semestinya menyukarkan mereka untuk memanfaatkan bantuan tersebut.
Oleh yang demikian, adakah tindakan berikut dikira halal atau haram?:
1. Memindahkan kredit e-Pemula melalui QR Code DuitNow rakan-rakan atau ahli keluarga yang mempunyai merchant account kerana mempunyai perniagaan berdaftar dengan SSM.
2. Memindahkan kredit e-Pemula untuk tujuan cash out atau berniat memindahkan semula ke aplikasi e-dompet seperti Shopee untuk tujuan pembelian atas talian.
3. Menggunakan kredit e-Pemula bukan berdasarkan tujuan asalnya iaitu untuk menggalakkan pembelian secara tanpa tunai di kedai-kedai fizikal tetapi membuat pembelian atas talian dan mengubahnya kepada wang fizikal melalui pengeluaran di ATM bank.
Mohon pandangan dan jawapan panel. Terima kasih.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada persoalan saudara, diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
«الْمُسْلِمُونَ عَلَى شُرُوطِهِمْ»
Maksudnya: “Kaum muslimin tergantung pada syarat-syarat yang dibuat oleh mereka.” (Riwayat Abu Daud)
Sebagaimana yang diketahui E-Pemula yang diberikan oleh Kerajaan adalah bantuan kepada golongan belia yang bertujuan untuk:
Antara syarat penebusan E-Pemula ini adalah sebagaimana yang ditetapkan oleh kerajaan sebagai transaksi atas talian melalui e-dompet pilihan anda. Perkara yang dilarang untuk berurus niaga adalah seperti berikut:
Kesimpulannya, penggunaan E-Pemula ini hendaklah digunakan sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Ulil Amri iaitu kerajaan bagi mencapai objektif pemberiannya yang mana ia menjadi syarat kepada penerimaan kemudahan tersebut. Oleh itu, penggunaan kepada perkara yang dilarang atau selain daripada apa yang telah ditetapkan adalah tidak diharuskan. Mereka yang layak boleh memohon melalui beberapa aplikasi e-dompet yang berdaftar dan berbelanja menurut apa yang telah ditetapkan oleh pihak Kerajaan. Semua transaksi adalah tanpa tunai dan terdapat juga perkhidmatan penghantaran yang disediakan oleh pengendali e-dompet. Bagi yang terkesan dengan kekangan yang berlaku seperti tinggal di kawasan pedalaman dan tiada akses kepada kedai-kedai yang menyediakan perkhidmatan pembayaran tanpa tunai, tempoh masa yang diberikan oleh pihak Kerajaan sehingga 10 Jun 2022 adalah dianggap memadai untuk menggunapakai insentif yang diberikan ini.
والله أعلم بالصواب