Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Ustaz, saya pernah bernazar dihadapan sekawan 5 org rakan pejabat yg mana saya akan belanja mereka semua kambing golek jika saya dapat bertukar department. Alhamdulillah diluluskan dan saya telah pun membuat majlis kesyukuran dgn kambig golek dan memjemput mereka semua. Tapi ada sebahagian dari 5 rakan tadi tidak dapat hadir. Adakah saya masih berhutang nazar dgn mereka dan perlu melunaskan atau membayar kaffarah utk nazar saya yg tidak kesampaian pada sebahagian rakan saya tadi. Mohon pencerahan Ustaz.. Terima kasih..
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد
Menunaikan nazar adalah wajib berdasarkan kepada firman Allah SWT di dalam surah Al-Hajj, ayat 29:
ثُمَّ لْيَقْضُوا تَفَثَهُمْ وَلْيُوفُوا نُذُورَهُمْ
Maksudnya: Kemudian hendaklah mereka membersihkan dirinya dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazar mereka.
Merujuk kepada soalan yang diajukan, jika nazar yang dibuat itu bermaksud untuk membelanja 5 orang kawan tuan dengan hidangan kambing golek secara individu, maka tuan perlu memastikan membelanja setiap daripada mereka. Seandainya tuan membuat satu majlis jamuan kambing golek untuk mereka dan mereka telah bersetuju untuk hadir ke majlis itu, tapi kemudian tidak dapat hadir atas sebab tertentu, maka tuan telah terlepas daripada nazar tersebut.
Namun sekiranya terdapat rakan yang menyatakan dari awal lagi bahawa dia tidak dapat menghadiri majlis tersebut, maka tuan perlu memberi makan kambing golek kepada kawan tersebut pada masa yang lain. Ini adalah kerana nazar itu berkaitan dengan membelanja kesemua 5 rakan tuan dan ia masih tidak tertunai lagi.
Walau bagaimanapun, jika nazar tuan itu hanya bermaksud untuk mengadakan majlis makan hidangan kambing golek dengan menjemput 5 orang kawan tersebut, maka tidak timbul isu hadir atau tidak hadir, kerana nazar telah tertunai.
والله أعلم بالصواب