BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamu'alaikum tuan,

 

Soalan saya berkenaan zakat fitrah

 

1. Ada Seorang isteri sebelum ini membayar zakat fitrah untuk dirinya sendiri, suami dan anak-anaknya kerana suaminya tiada pendapatan dan berhutang. Adakah sah bayaran zakatnya ke atas

  • dirinya sendiri
  • suami
  • anak-anaknya?

jika tidak sah, apa yang perlu dilakukan?

 

2. Jika saya bekerja di Selangor, manakala keluarga saya berada di negeri lain, manakah lebih afdal untuk saya membayar zakat fitrah mereka, di negeri lain atau di negeri Selangor?

 

Sekian, terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام  ورحمة الله وبركاته 

..الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan puan ;

1. Kewajipan membayar zakat fitrah isteri dan anak-anak adalah terletak kepada suami. Seandainya suami tidak berkemampuan, maka isteri dan anak-anak tidak diwajibkan membayar zakat fitrah walaupun isteri berkemampuan. Tidak menjadi kewajipan kepada isteri untuk membayar zakat fitrah bagi dirinya mahupun bagi suaminya sekiranya suami tidak berkemampuan. Tidak sah bagi isteri membayar sendiri zakat fitrahnya melainkan dengan keizinan suami. Tanpa keizinan suami, wang yang dikeluarkan oleh isteri dianggap sebagai sedekah biasa dan bukan zakat fitrah. Walau bagaimanapun, diharuskan kepada isteri yang berkemampuan untuk bersedekah atau menghadiahkan wang kepada suami agar suaminya mampu untuk membayar zakat diri, isteri dan anak-anaknya.

2. Tempat yang afdhal membayar zakat fitrah adalah di tempat di mana seseorang itu berada ketika bermula waktu wajib untuk membayar zakat iaitu pada malam 1 syawal selepas terbenam matahari hari terakhir Ramadhan hingga sebelum solat sunat Idulfitri. Namun diharuskan untuk membayar lebih awal di mana tempat seseorang itu berkerja bagi mengelakkan kesukaran atau tergesa-gesa membayar pada malam raya atau pada pagi raya. 

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2022
Jumlah Pelawat : 472

message user image