BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Soalan: Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh. Semoga Tuan/Puan didalam rahmat Allah s.w.t. Saya Nur Farhana, 23, ingin bertanyakan, adakah produk kosmetik yang mengandungi Carmine/Cochineal/Natural Red 4/C.I. 75470/E120 (sejenis pewarna yang dikeluarkan oleh serangga) halal digunakan? Saya ada baca dari beberapa sumber yang mengatakan penggunaan secara luaran (eyeshadow, blusher, mascara) dibolehkan tetapi penggunaan lipstik yang memungkinkan pengguna termakan adalah tidak boleh. Mohon penjelasan dari mufti Selangor. Disini juga saya sertakan pautan sumber tersebut. http://www.askimam.org/public/question_detail/22461#_ftnref2 Segala kerjasama Tuan/Puan didahulukan dengan ucapan terima kasih. Assalamualaikum.


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan saudari, bagi mengenalpasti sesuatu produk itu sama ada ianya halal atau tidak untuk digunakan, hendaklah mendapat pengesahan halal dan melalui prosedur yang telah ditetapkan oleh pihak pengurusan halal di Malaysia iaitu Bahagian Hub Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Berkenaan produk yang mengandungi “Carmine” atau “E120” dalam bahan kosmetik, merujuk kepada kenyataan media yang telah dikeluarkan oleh pihak JAKIM, mereka menjelaskan bahawa; “Tidak semua nombor E yang digunakan untuk membuat sesuatu produk makanan berasaskan dari sumber yang haram. Bahan-bahan aditif ini boleh bersumberkan tumbuhan, sintetik, mikrob, semulajadi, kimia dan haiwan”. Menurutnya lagi, “Sehubungan itu, sekiranya produk tersebut merupakan produk tempatan dan mendapat sijil Pengesahan Halal Malaysia, maka ia boleh digunakan tanpa was-was sekalipun mempunyai kod E-kod. Tetapi sekiranya produk tersebut bukan produk tempatan serta tidak mendapat sijil pengesahan halal Malaysia walaupun menggunakan e-kod yang sama, pengguna dinasihatkan agar berhati-hati dalam memilih produk tersebut”. Kenyataan media selanjutnya, saudari bolehlah layari di link berikut: http://www.islam.gov.my/media-jakim/kenyataan-media/278-kenyataan-media-kp-jakim-berkenaan-penjelasan-kod-e-yang-dikaitkan-mengandungi-lemak-babi Manakala produk kosmetik yang mengandungi cochineal, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Kali Ke-100 yang bersidang pada 4 hingga 6 Julai 2012 telah membincangkan Hukum Bahan Pewarna Cochineal : Kajian Semula Kadar Piawaian Yang Ditetapkan Oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan telah memutuskan seperti berikut: 1. Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa cochineal adalah jenis serangga (kumbang betina) yang tidak membahayakan dan zat pewarna yang dihasilkan daripada cochineal boleh dimanfaatkan oleh manusia. Dari segi perundangan negara, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 telah menetapkan bahawa pewarna carmine yang diperolehi dan dihasilkan daripada cochineal adalah dibenarkan berdasarkan Amalan Pengilangan Yang Baik (GMP). 2. Muzakarah juga menegaskan bahawa Jumhur Fuqaha’ sepakat menetapkan bahawa bangkai serangga yang darahnya tidak mengalir adalah suci, dan pewarna cochineal adalah diperolehi daripada serangga cochineal yang telah mati di mana darahnya tidak mengalir. 3. Berdasarkan ketetapan tersebut, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa penggunaan bahan pewarna cochineal dalam makanan, minuman dan barang gunaan adalah diharuskan dan kadar penggunaan yang dibenarkan adalah mengikut ketetapan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia selagi mana ia tidak mendatangkan kemudharatan. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2018
Jumlah Pelawat : 153

message user image