Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalammualaikum ustaz, mohon pencerahan.
Suami pernah melafazkan cerai & kami telah rujuk.
Setelah beberapa bulan saya & suami bergaduh ketika saya mengandung 8 bulan. Dia lafaz "Kita cerai lepas bersalin nanti." kami telah ke mahkamah Syariah untuk daftarkan cerai. Namun beberapa minggu selepas itu kami bergaduh dan saya mengugut untuk lari dari rumah, suami saya lafaz "ko keluar rumah ni kita cerai". Adakah terjatuh talak itu sedangkan kami dalam tempoh Iddah?
Mohon jelaskan ustaz. Terima kasih
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Ibnu Umar RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
«أَبْغَضُ الْحَلَالِ إِلَى اللَّهِ تَعَالَى الطَّلَاقُ»
Maksudnya: Perkara halal yang paling dimurkai Allah adalah talaq. (Riwayat Abu Daud)
Merujuk kepada persoalan yang diajukan,
1. Lafaz suami "ko keluar rumah ni kita cerai" merupakan lafaz talak takliq yang dikategorikan sebagai lafaz soreh atau lafaz jelas yang mana jika di langgar maka jatuhlah talak. Memandangkan urusan pengesahan perceraian adalah merupakan bidang kuasa Mahkamah Syariah, maka adalah disyorkan agar puan merujuk kepada Mahkamah Syariah yang berhampiran bagi melaporkan perkara tersebut dalam kadar yang segera.
2. Adapun berkaitan persoalan sama ada jatuh talak atau tidak ketika pasangan dalam iddah talak raji'e, maka hukumnya adalah jatuh talak. Ini adalah kerana semasa di dalam tempoh iddah talak raji'e suami masih mempunyai wilayah atau kuasa terhadap isterinya di mana suami mempunyai hak untuk rujuk semula tanpa memerlukan akad baru mahupun persetujuan daripada isteri. Suami juga bertanggungjawab memberi nafkah kepada isteri dalam tempoh tersebut. Dan sekiranya salah seorang daripada mereka meninggal dunia, mereka masih mewarisi antara satu sama lain.
والله أعلم بالصواب