BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Salam Ustaz.

Adakah sesorang yg pernah melakukan zina seperti memegang kemaluan pasangan tanpa nikah ( tanpa melakukan persetubuhan ) dilarang atau haram menyertai iaitu bersama sama menyertai program qhatam al quran yg dianjurkan oleh surau , masjid atau mana mana anjuran. Saya inginkan perjelasan terperinci kerana ada pertikaian di kalangan  Masyarakat berkaitan dengan persoalan saya.

Diharap ustaz dapat membantu dengan perjelaaan yg terperinci. Terima kasih.. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Zina menurut pandangan Islam adalah persetubuhan yang dilakukan oleh pasangan yang tiada ikatan perkahwinan yang sah atau memasukkan kemaluan lelaki walaupun sebahagiannya ke dalam kemaluan perempuan yang bukan isterinya tanpa syubhah. Perbuatan zina merupakan di antara dosa besar yang dibenci oleh Allah SWT.

Perbuatan memegang kemaluan orang lain tidaklah termasuk dalam perbuatan zina, namun ia termasuk dalam perbuatan keji dan maksiat yang dilarang dalam Islam. Perbuatan seumpama itu termasuk dalam mukaddimah zina. Allah SWT melarang kita daripada mendekati zina sepertimana firman-Nya di dalam surah al-Israa': 32: 

وَلَا تَقْرَبُوا۟ ٱلزِّنَىٰٓ ۖ إِنَّهُۥ كَانَ فَٰحِشَةً وَسَآءَ سَبِيلًا

Maksudnya: “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).” 

Tidak ada nas syarak terhadap orang yang pernah melakukan zina dilarang dari menghadiri program-program keagamaan samada di masjid, surau atau di mana-mana sahaja.

Ini kerana walau sebesar manapun dosa yang dilakukan oleh seorang manusia, peluang bertaubat tetap terbuka luas selagi belum tiba ajal seseorang atau sebelum terbitnya matahari dari sebelah barat (kiamat). Sekiranya Allah SWT menggerakkan hati kita untuk bertaubat kepada-Nya dari dosa lampau, itu merupakan satu anugerah yang amat berharga dan patut disyukuri. Perkara utama yang perlu dilakukan adalah dengan bertaubat dengan sebenar-benar taubat iaitu dengan meninggalkan, membenci dan menjauhi perkara yang boleh membawa kepada dosa zina.

Di dalam surah al-A'raaf: 153, Allah SWT berfirman:

وَالَّذِينَ عَمِلُوا السَّيِّئَاتِ ثُمَّ تَابُوا مِنْ بَعْدِهَا وَآمَنُوا إِنَّ رَبَّكَ مِنْ بَعْدِهَا لَغَفُورٌ رَحِيمٌ

Maksudnya: "Dan orang-orang yang melakukan kejahatan kemudian mereka bertaubat sesudah itu dan beriman, maka sesungguhnya Tuhanmu sesudah itu Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."

Di dalam surah al-Furqan: 70 pula Allah SWT berfirman:

اِلَّا مَنْ تَابَ وَاٰمَنَ وَعَمِلَ عَمَلًا صَالِحًا فَاُولٰۤىِٕكَ يُبَدِّلُ اللّٰهُ سَيِّاٰتِهِمْ حَسَنٰتٍۗ وَكَانَ اللّٰهُ غَفُوْرًا رَّحِيْمًا

Maksudnya: "Kecuali orang-orang yang bertaubat dan beriman dan mengerjakan kebajikan; maka kejahatan mereka diganti Allah dengan kebaikan. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang".

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2022
Jumlah Pelawat : 187

message user image