BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, adakah sah solat saya selepas beberapa tahun saya terdetik mahu menyemak semula bacaan tasyahud akhir saya dan saya mendapati yang saya tertinggal satu ayat iaitu ayat وَعَلَى dalam ayat السَّلاَمُ عَلَيْنَا وَعَلَى عِبَادِ اللَّهِ الصَّالِحِينَ. Adakah saya perlu qada semula semua solat saya kerana saya tidak sengaja dan tidak pula mengetahui bahawa saya tertinggal ayat tersebut. Terima kasih.


message user image

Jawapan  

 

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين الصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين ، أما بعد

Membaca tasyahhud akhir merupakan rukun qauli di dalam solat yang wajib dibaca dengan betul bagi memastikan solat yang dilaksanakan sah. Sekiranya seseorang  melakukan kesalahan bacaan atau meninggalkan tasyahhud akhir, maka solat yang dilakukan tidak sah. Namun seandainya kesalahan bacaan itu berlaku dengan sebab kejahilan atau dengan tidak disengajakan, maka tidak perlulah mengqada' solat-solat yang terdahulu kerana dianggap masih dalam proses pembelajaran. Sebagai mana di dalam hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA berkata:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ دَخَلَ المَسْجِدَ فَدَخَلَ رَجُلٌ، فَصَلَّى، فَسَلَّمَ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَرَدَّ وَقَالَ: «ارْجِعْ فَصَلِّ، فَإِنَّكَ لَمْ تُصَلِّ»، فَرَجَعَ يُصَلِّي كَمَا صَلَّى، ثُمَّ جَاءَ، فَسَلَّمَ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: «ارْجِعْ فَصَلِّ، فَإِنَّكَ لَمْ تُصَلِّ» ثَلاَثًا، فَقَالَ: وَالَّذِي بَعَثَكَ بِالحَقِّ مَا أُحْسِنُ غَيْرَهُ، فَعَلِّمْنِي، فَقَالَ: «إِذَا قُمْتَ إِلَى الصَّلاَةِ فَكَبِّرْ، ثُمَّ اقْرَأْ مَا تَيَسَّرَ مَعَكَ مِنَ القُرْآنِ، ثُمَّ ارْكَعْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ رَاكِعًا، ثُمَّ ارْفَعْ حَتَّى تَعْدِلَ قَائِمًا، ثُمَّ اسْجُدْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ سَاجِدًا، ثُمَّ ارْفَعْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ جَالِسًا، وَافْعَلْ ذَلِكَ فِي صَلاَتِكَ كُلِّهَا»

Maksudnya: “Bahawa Rasulullah SAW masuk ke masjid, kemudian ada seorang laki-laki masuk Masjid lalu solat. Kemudian mengucapkan salam kepada Nabi SAW. Baginda menjawab dan berkata kepadanya, “Kembalilah dan ulangi solatmu karena kamu belum solat!” Maka orang itu mengulangi solatnya seperti yang dilakukannya pertama tadi. Lalu datang menghadap kepada Nabi SAW memberi salam. Namun Baginda kembali berkata: “Kembalilah dan ulangi solatmu karena kamu belum solat!” Baginda memerintahkan orang ini sampai tiga kali hingga akhirnya laki-laki tersebut berkata, “Demi Zat yang mengutus anda dengan hak, aku tidak bisa melakukan yang lebih baik dari itu. Maka ajarkanlah aku!” Baginda lantas berkata: “Jika kamu berdiri untuk solat maka mulailah dengan takbir, lalu bacalah apa yang mudah buatmu dari Al Qur’an, kemudian rukuklah sampai benar-benar rukuk (dengan thuma’ninah), lalu bangkitlah (dari rukuk) hingga kamu benar-benar berdiri tegak (dengan thuma’ninah), lalu sujudlah sampai hingga benar-benar sujud (dengan thuma’ninah), lalu angkat (kepalamu) untuk duduk hingga benar-benar duduk (dengan thuma’ninah). Maka lakukanlah dengan cara seperti itu dalam seluruh solat (rakaat) mu”. (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Apa yang boleh difahami dari hadis di atas adalah Rasulullah SAW tidak memerintahkan orang tersebut untuk mengqada' solat-solat yang sebelumnya walaupun jelas solat-solat yang dilakukan sebelum itu adalah sama sebagaimana solat yang dia lakukan ketika ditegur oleh Rasulullah SAW, iaitu mengulangi semula solat tersebut. 

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2022
Jumlah Pelawat : 120

message user image