Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, apakah hukum memebaca fiksyen tentang roh orang yang dah meninggal, posession dan sebagainya? Sebagai contoh, sebuah fiksyen yang menceritakan tentang roh orang yang sudah meninggal yang meninggal akibat dibunuh lalu roh dia masuk kedalam benda lain atau kedalam badan orang lain lalu dia mencari pembunuh yang membunuh dia untuk membalas dendam. Kebelakangan ini ramai yang minati fiksyen yang berkaitan paranormal, supernatural dan sebagainya. Adakah ia dikira syirik jika kita membaca fiksyen sebegitu? Terima kasih.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد
Hukum membaca buku atau menonton cerita fiksyen berkaitan ruh sebagaimana yang dinyatakan pada asalnya adalah diharuskan. Namun ia merupakan perbuatan lagha atau sia-sia yang lebih baik untuk ditinggalkan. Lebih-lebih lagi seandainya kandungan cerita tersebut mengandungi unsur-unsur tahyul atau khurafat yang boleh mempengaruhi atau merosakkan akidah. Sekadar membaca cerita fiksyen tersebut tidak menjadikan seseorang itu syirik melainkan jika pembaca benar-benar mempercayai perkara yang dibaca yang bercanggah dengan akidah Islam yang sebenar seperti mempercayai bahawa ruh mempunyai kuasa yang boleh memberi manfaat atau kemudaratan kepada manusia. Firman Allah SWT dalam surah al Isra' ayat 85;
وَيَسْأَلُونَكَ عَنِ الرُّوحِ قُلِ الرُّوحُ مِنْ أَمْرِ رَبِّي وَمَا أُوتِيتُمْ مِنَ العِلْمِ إِلَّا قَلِيلًا
Maksudnya: Dan mereka bertanya kamu tentang ruh. Katakanlah ruh adalah urusan Allah dan tidak diberi ilmu kepada kamu melainkan hanya sedikit.
Perlu diketahui bahawa hakikat sebenar berkaitan roh hanya diketahui oleh Allah SWT dan orang yang telah meninggal dunia.
والله أعلم بالصواب