Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
assalamu'alaikum
1. Soalan pertama: saya telah diamanahkan untuk memberi wang dan bantuan makanan kepada beberapa keluarga susah di banting melalui program universiti pada tahun 2008. Tetapi saya terlupa untuk memberi wang tersebut (berada di dalam sampul, dalam beg), dan hanya memberi bantuan makanan. Saya telah berhenti belajar di universiti tersebut pada tahun yang sama dan telah kehilangan data keluarga tersebut. bagaimana cara untuk saya menyelesaikan hutang ini? bolehkah saya serahkan duit kepada imam atau ketua kampung tersebut?
2.Soalan kedua. Saya telah lama mencari makna nama saya dalam islam,tetapi belum jumpa. Saya sangat risau, sebab saya telah membaca tentang kita akan dipanggil dengan nama kita dan nama bapa sehingga ke akhirat. mohon tuan/puan dapat memberitahu makna nama saya. jika maknanya buruk atau tiada makna, saya ingin menukar nama. perkara ini membawa ke soalan ke-3
3. sekiranya seorang perempuan yang telah bernikah menukar nama, bagaimana status akad nikahnya?
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada soalan yang diajukan,
1. Usaha pertama adalah dengan berusaha menyerahkan wang tersebut kepada penerimanya, jika tidak mampu maka hendaklah dipulangkan semula kepada pemilik asal wang tersebut. Jika ia hasil kutipan orang ramai maka sebaiknya duit tersebut diserahkan kepada Baitulmal Majlis Agama Islam Negeri-Negeri selaku pemegang amanah harta umat Islam Di Malaysia.
2. Islam sangat menggalakkan agar umatnya meletakkan nama yang baik pada anak-anak, nama yang baik tidak terhad hanya dalam bahasa Arab sahaja kerana nama yang baik boleh terhasil daripada pelbagai bahasa selain daripada bahasa Arab, selagi ia memberi maksud yang baik sekalipun bukan dalam bahasa Arab maka ia tetap dikira sebagai nama yang baik. Hal ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Abu Darda' RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Sesungguhnya kamu akan dipanggil pada hari Kiamat dengan nama-nama kamu dan nama-nama bapa kamu, maka perelokkanlah nama-nama kamu.” (Hadits riwayat Abu Daud dan Ahmad).
Berhubung makna Siti Zulaifah, Siti merupakan panggilan atau gelaran yang mulia untuk seorang perempuan, seperti Siti Hawa, Siti Khadijah dan sebagainya. Mana kala Zulaifah adalah perkataan bahasa Arab yang bermaksud dekat.
3. Seorang wanita yang menukar namanya tidak membatalkan nikahnya bersama suaminya, ini kerana rukun nikah bagi kedua-dua pasangan lelaki dan perempuan adalah "individu yang tertentu orangnya". Oleh itu penukaran nama yang berlaku tidak menjejaskan ikatan antara pasangan suami dan isteri.
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.