Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum ustaz. saya nak tanya. saya bercadang untuk mengadakan aqiqah untuk anak lelaki bersama dengan majlis perkahwinan adik ipar saya. Persoalannya, adakah aqiqah itu sah dan dibolehkan menggabungkan majlis perkahwinan dengan aqiqah?bagaimana jika ada tetamu menghulurkan hadiah berbentuk wang, adakah saya boleh menerima wang tersebut atau menganggap wang itu adalah hadiah untuk keluarga pengantin sahaja?
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمد لله رب العالمين الصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين ، أما بعد
Akikah merupakan perkara sunat yang dituntut dilakukan bagi setiap kelahiran. Menggabungkan kenduri akikah bersama kenduri kahwin adalah diharuskan dengan syarat daging sembelihan akikah hanya dimakan oleh orang Islam sahaja. Antara perkara yang disunatkan dalam mengadakan akikah adalah tidak mematahkan tulang kaki binatang akikah dan diadakan kenduri akikah pada hari ke tujuh kelahiran. Sayyidatina Aisyah RA menyatakan bahawa;
أن رسول الله -صلى الله عليه وسلم- أمرهم أن يُعَقَّ عن الغُلَامِ شَاتَانِ مُكَافِئَتَانِ، وعن الْجَارِيَةِ شَاةٌ
Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah SAW menyuruh mereka supaya mengadakan akikah untuk bayi lelaki dengan dua ekor kambing dan untuk bayi perempuan dengan seekor kambing.
(Riwayat Tirmizi dan Ahmad)
Hadiah berbentuk wang adalah adat kebiasaan bagi meringankan beban tuan rumah bagi majlis perkahwinan yang sifatnya lebih besar dan memerlukan perbelanjaan yang tinggi. Jika ada tetamu yang menghulurkan hadiah berbentuk wang secara umum, maka hadiah tersebut perlu diberikan kepada tuan rumah majlis perkahwinan tersebut. Adapun jika hadiah tersebut dikhususkan oleh penyumbang kepada bayi yang diakikahkan, maka ia adalah kepunyaan bayi tersebut.
والله أعلم بالصواب