BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Salam ustaz, saya ada soalan tentang solat jamak dan qasar. saya seorang pelajar yang belajar di perak. rumah saya di selangor, saya menetap di selangor. di perak saya duduk hostel di tempat saya belajar.. pada hujung minggu cuti raya ini saya akan balik ke rumah saya iaitu selangor, dan saya akan tidur sehari di rumah persinggahan di selangor. tetapi belum sampai destinasi yang hendak saya tuju iaitu rumah mak ayah saya di selangor. Soalannya bolehkah saya solat jamak apabila saya tidur di rumah persinggahan sebelum saya sampai ke rumah keluarga saya? Kiranya saya mungkin jamak selama 2 hari pada tempat persinggahan itu. mohon pencerahan ustaz


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Ingin kami jelaskan bahawa terdapat beberapa syarat yang mengharuskan solat jamak dan qasar bagi musafir, iaitu: 

1. Perjalanan yang jaraknya melebihi 2 marhalah iaitu 82 kilometer atau lebih. Oleh itu, perjalanan yang jaraknya kurang dari 2 marhalah tidak diharuskan untuk solat jamak dan qasar. 

2. Seseorang hendaklah tidak berniat menetap selama empat hari atau lebih di tempat yang dituju, tidak termasuk hari sampai dan hari keluar. Ini bermakna jika seseorang berniat untuk menetap selama 4 hari, maka solat jamak dan qasar tidak diharuskan sebaik sahaja sampai ke tempat itu. Sebaliknya, jika seseorang itu berniat untuk menetap selama 3 hari atau kurang, maka dia boleh melakukan solat jamak dan qasar sepanjang berada di tempat itu.

3.Perjalanan yang diharuskan. Oleh itu, perjalanan untuk tujuan melakukan kemaksiatan atau kemungkaran tidak diharuskan melakukan solat jamak dan qasar.

Berdasarkan kepada persoalan yang dikemukakan, saudara boleh melakukan solat jamak dan qasar di tempat persinggahan yang berada di luar qaryah rumah kedua ibubapa sekiranya berniat untuk menetap kurang dari empat hari. 

والله أعلم بالصواب

 


Tahun Soalan : 2022
Jumlah Pelawat : 662

message user image