Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, jika terpegang pemegang berus yang diperbuat dari bulu babi. Hanya bulu berusnya yang di tutup plastik. Pemegang berus itu tidak bertutup plastik. Setelah itu, tidak ingat telah menyentuhnya dengan tangan kering atau tidak. Kemudian, telah makan menggunakan tangan dan menyentuh banyak tempat. Apa yang harus saya lakukan? Persoalan lain, Adakah perlu menyertu dinding apabila mengecat rumah menggunakan berus dari bulu babi? Adakah perlu menyertu tangkai pokok ubi yang dilanggar babi? Bagaimana pula dengan kawasan tanah yang di ceroboh babi yang menjadi laluan halaman rumah?
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Mazhab Syafii menetapkan bahawa babi adalah najis mughalazah atau najis berat yang perlu disertu apabila tersentuh dalam keadaan basah.
Merujuk kepada soalan yang diajukan,
1. Apabila tidak pasti sama ada tersentuh mahupun tidak berus yang diperbuat dari bulu babi, menyentuhnya dalam keadaan basah atau kering, maka ia kekal pada hukum atau keadaan asal sesuatu iaitu suci. Ini berdasarkan kepada kaedah fiqah menyatakan:
اليقين لا يزول بالشك
Maksudnya: "Keyakinan tidak akan dapat menghapuskan keraguan"
2. Bagi dinding yang telah dicat menggunakan berus yang diperbuat dari bulu babi, maka cat yang terdapat pada dinding tersebut menjadi bernajis. Seandainya disentuh dalam keadaan kering, maka benda yang menyentuhnya tidak akan menjadi bernajis. Sebaliknya jika di dalam keadaan basah, maka benda tersebut menjadi bernajis. Apa yang boleh dilakukan adalah mengecat semula dinding tersebut dengan cat yang baharu bagi mengelakkan kepayahan tadi.
3. Tangkai pokok ubi yang dilanggar oleh babi, seandainya tidak terdapat sebarang kesan padanya, maka tidak perlu disertu kerana tidak diketahui bahagian mana yang terkena. Begitu juga seandainya terdapat kesan, namun jika telah berlalu masa yang lama atau terkena hujan, maka tidak perlu disertu. Melainkan seandainya melihat sendiri tangkai pokok ubi itu dilanggar oleh babi dan kita hendak mencabutnya pada masa itu, maka ia perlu disertu.
4. Kawasan tanah yang diceroboh atau dilalui oleh babi tidak perlu disertu kerana keadaan tanah itu sendiri adalah salah satu agen atau alat mensuci. Seandainya terdapat najis babi, maka memadai dengan membuang ain najis tersebut tanpa perlu menyertu tanah tersebut.
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.