Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalammu'alaikum, saya telah mengalami keguguran pada 47 hari lepas. Selepas sebulan darah berwarna coklat telah habis keluar. Namun, pada hari ke 46 masih ada keluar cecair berwarna kuning pekat becampur darah secara tiba2. Selang 2 hari, ada keluar cecair berwarna putih pekat, dan kemudian selang 2 hari keluar cecair kuning yang sangat sedikit. Saya berasa was2 dengan ibadah puasa yg saya laksanakan. Mohon penjelasan, adakah puasa saya sah?
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
..الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada persoalan, apa yang kami faham dari kenyataan yang puan berikan ialah dari tarikh keguguran itu sehingga 30 hari keluar darah coklat kemudian berhenti. Kemudian tidak ada darah lagi kecuali pada hari 46 ada cecair kuning bercampur darah selama 2 hari. Kemudian keluar cecair putih pekat dan berhenti. Dua hari selepas itu keluar cecair kuning yang sangat sedikit kemudian berhenti.
Berdasarkan keterangan ini, maka darah coklat pada 30 hari pertama adalah darah nifas. Ini kerana menurut pendapat muktamad dalam kalangan ulama mazhab Syafii yang mutaakhirin, wanita yang keguguran sama ada yang gugur itu dalam bentuk 'alaqah (ketulan darah) atau mudghah (ketulan daging lembut) di mana doktor mengesahkan ia adalah asal bagi kejadian janin, maka darah yang keluar selepasnya adalah darah nifas. Ini bererti tempoh nifas puan ialah selama 30 hari.
Cecair kuning yg bercampur darah pada hari ke 46 adalah dikira sebagai haid. Ia dikira haid kerana cukup 24 jam di mana dalam mazhab Syafii warna kuning dikira sebagai haid jika tempohnya munasabah dengan tempoh haid. Cecair kuning yang bercampur darah ini tidak boleh dianggap sebagai lanjutan nifas sebelumnya kerana telah berlaku penyelangan tempoh suci selama 15 hari iaitu dari hari 31 hingga hari 46.
Cecair putih pekat itu jika yang biasa dilalui oleh wanita di penghujung haid atau nifasnya maka ia dikenali sebagai qassah baidha' yang merupakan petanda berakhirnya haid atau nifas. Dengan keluarnya cecair ini maka bolehlah wanita itu mandi dan bersuci.
Cecair kuning yang sedikit dua hari selepasnya adalah lanjutan haid yang masih tersisa. Oleh itu tempoh dua hari semasa telah mandi itu juga turut dikira sebagai tempoh haid. Jika ada puasa wajib yang dilakukan, maka puasa itu tidak sah dan hendaklah diqada' semula.
Selepas cecair kuning yang sedikit itu, jika tidak ada apa-apa darah lagi maka bolehlah mandi dan menjalankan ibadat sepertimana wanita yang suci.
والله أعلم بالصواب