BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

 

saya ada persoalan berkaitan solat jamak dan qasar kalau cth, sorg ni dari selangor mahu pergi ke kelantan..jdnya boleh la dia jamak qasar .bagaimana pula kalau hari jumaat..lpstu dia bergerak dalam pukul 230 pm..kalau ikutkan sempat la untuk dia solat jumaat .tetapi dia xbuat solat jumaat & dia buat jamak ta'khir..

1) adakah perbuatan ini dibernakan dan jika tidak, jenis jamak manakah yang dibernarkan? 2) adakah solat zohor yg dilakukan utk ganti solat jumaat itu perlu dilakukan secara tamam iaitu 4 rakaat atau boleh diqasarkan berdasarkan kes dia bergerak selepas azan pada hari jumaat. 

mohon penjelasan.. syukran jazilan

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين الصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين ، أما بعد

Seseorang yang bermusafir dengan jarak yang melebihi dua marhalah (81 KM) dengan tujuan yang diharuskan menurut Hukum Syarak maka diharuskan baginya untuk solat secara jamak dan qasarJamak adalah mengumpulkan solat Zohor dan Asar atau Maghrib dan Isyak, manakala qasar adalah mengurangkan jumlah rakaat  bagi solat yang asalnya empat rakaat menjadi dua rakaat. Jamak takdim adalah mengumpulkan dua solat dalam waktu yang pertama, manakala jamak takhir adalah mengumpulkan solat dalam waktu yang kedua. Hadis riwayat Abu Juhaifah RA;

 خَرَجَ رَسولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ بالهَاجِرَةِ، فَصَلَّى بالبَطْحَاءِ الظُّهْرَ والعَصْرَ رَكْعَتَيْنِ، ونَصَبَ بيْنَ يَدَيْهِ عَنَزَةً وتَوَضَّأَ، فَجَعَلَ النَّاسُ يَتَمَسَّحُونَ بوَضُوئِهِ

Maksudnya: Ketika Rasulullah SAW keluar pada waktu tengahari untuk bermusafir, baginda solat Zohor dan Asar dua rakaat (jamak dan qasar) di Bathaa', dan  baginda mencacakkan tongkat di hadapan baginda (sebagai sutrah) lantas berwuduk, lalu manusia berebut mendapatkan sisa wuduk baginda (mengambil barakah).

(Riwayat al-Bukhari)   

1. Merujuk kepada soalan yang diajukan, bermusafir dari Selangor ke Kelantan adalah jarak yang melebihi dua marhalah dan diharuskan untuk solat secara jamak dan qasar sepanjang permusafiran. Sekiranya musafir berlaku pada hari selain Jumaat dan waktu bertolak adalah selepas masuk waktu zohor iaitu pukul 2.30 petang, solat zohor tersebut harus dilakukan ketika di perjalanan dengan dua syarat iaitu solat Zohor dilakukan secara sempurna empat rakaat (tamam) dan dilakukan secara jamak takdim. 

Bagi permusafiran pada hari Jumaat, keringanan meninggalkan kewajipan menunaikan solat fardhu Jumaat hanya diberikan kepada musafir yang memulakan perjalanan dan keluar dari qariah tempat tinggalnya sebelum terbit fajar iaitu sebelum masuk waktu Subuh hari Jumaat tersebut dan lelaki itu boleh melakukan solat Zohor secara qasar apabila masuk waktu Zohor dalam keadaan beliau telah memulakan perjalanan dan telah keluar dari qariahnya. 

Seandainya perjalanan itu bermula selepas waktu Subuh, maka wajib kepadanya untuk menunaikan solat Jumaat sama ada sebelum atau ketika perjalanan. Dalam kes tuan, lelaki itu berkewajipan untuk menunaikan solat fardhu Jumaat kerana dia hanya memulakan perjalanannya pada pukul 2.30 petang. Tindakan meninggalkan solat Jumaat pada keadaan itu adalah tidak dibenarkan dan ia adalah perbuatan yang salah menurut Hukum Syarak serta berdosa. Apa yang lelaki itu boleh lakukan adalah memulakan perjalanan lebih awal dan singgah di mama-mana masjid di luar kawasan qariahnya untuk solat Jumaat lalu melakukan solat Asar secara qasar dan jamak taqdim sebaik sahaja selesai solat fardhu Jumaat.

2. Seandainya perjalanan itu dimulakan sebelum masuk waktu Zohor, maka solat Zohor itu boleh dilakukan secara qasar. Namun, dalam situasi yang tuan nyatakan iaitu pada pukul 2.30 petang, perjalanan itu dimulakan selepas masuk waktu Zohor, maka solat Zohor itu wajib dilakukan secara tamam walaupun dia telah berada di dalam permusafiran.

والله أعلم بالصواب

 

 

 

 


Tahun Soalan : 2022
Jumlah Pelawat : 1146

message user image