Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalam...tuan sy telah membuat larangan ke atas isteri sy...ketika itu sy tengah marah...sy telah melarang isteri pulang ke kampung dia tanpa izin sy...jika dia langgar larangan sy maka jatuh talak 1 sy cakap pada isteri.... Tapi selepas sy dah tenang,sy meminta maaf pada isteri dan menarik balik kata2 sy dengan mengizin kan dia pulang ke kampung seikhlas hati kerana Allah....Adakah dgn menarik balik kata2 sy sebelum ni terbatal sudah ke larangan yg sy buat tuan....
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Nabi SAW menegas di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA:
ثَلاَثٌ جِدُّهُنَّ جِدٌّ وَهَزْلُهُنَّ جِدٌّ النِّكَاحُ وَالطَّلاَقُ وَالرَّجْعَةُ
Maksudnya: Tiga perkara yang seriusnya dianggap bersungguh-sungguh dan gurauannya dianggap bersungguh-sungguh, iaitu, nikah, cerai, rujuk semula (selepas talak). (Riwayat Abu Daud).
Hadis di atas jelas menunjukkan larangan untuk tidak bermain-main dalam tiga perkara tersebut. Hal ini kerana gurauan tiga perkara tersebut akan dihukumkan sebagai maksud asal perkataan tanpa mengira niat untuk bergurau.
Menjawab persoalan tuan di atas, lafaz tersebut termasuk dalam cerai secara taklik. Taklik adalah lafaz yang diucapkan sebagai syarat untuk membatalkan pernikahan jika berlakunya perlanggaran terhadap apa yang disyaratkan itu.Taklik bermaksud: menggantungkan perceraian kepada sesuatu masa atau sesuatu perbuatan seperti kata suami kepada isterinya: “kalau kau keluar rumah, aku ceraikan kau.” Sekiranya berlaku perlanggaran pada syarat taklik tersebut iaitu isteri keluar rumah, maka berlakulah perceraian.
Berbalik kepada lafaz yang tuan telah ucapkan: “kalau awak balik ke kampung tanpa izin saya, maka jatuh talak satu”, sekiranya berlaku perlanggaran pada syarat taklik tersebut, iaitu isteri balik kampung tanpa izin tuan, maka berlakulah perceraian atau jatuhlah talak. Namun jika isteri balik kampung dengan izin tuan, maka ia tidak memenuhi syarat taklik yang tuan ucapkan.
Namun perlu diingat bahawa lafaz taklik yang tuan ucapkan tidak boleh ditarik balik atau dibatalkan.
Oleh yang demikian, dalam melayari bahtera rumahtangga pasangan suami isteri hendaklah berusaha sedaya upaya menyemaikan rasa toleransi, selalu bermusyawarah, banyakkan bersabar serta berfikir sebelum bertindak. Toleransi, sabar, fikir dan syura (bermusyawarah) adalah ramuan yang sangat ideal bagi memastikan perjalanan rumahtangga dapat dilalui dengan penuh tertib dan harmoni. Tiada siapa yang boleh mendabik dada mengatakan rumahtangga mereka bahagia sepanjang masa, pasti akan ada ujian yang akan dilalui oleh mana-mana pasangan yang berumahtangga. Namun apa yang membezakan antara satu sama lain adalah bagaimana mereka bertindak dalam menangani ujian dan permasalahan yang berlaku itu.
والله أعلم بالصواب