BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : JENAYAH

message user image

  Soalan

Saya nk bertnya, dulu saya pernah sengaja mengambil bag org yang tertinggal di kedai makan. Dalam nya ada dompet berisi rm900. saya gunakan beg dan dompet. Saya juga menggunkan duit rm900. Sekarang saya nk bertaubat. Bagaimana saya nk tebus dosa-doasa saya? Saya dah usaha cari org itu, tapi tak jumpa. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه اجمعين أما بعد

Alhamdulillah, kesedaran tuan untuk bertaubat adalah hidayat daripada Allah SWT serta tanda kasih sayang-Nya kepada tuan. Perkara utama yang ingin kami tekankan kepada tuan adalah untuk melakukan taubat kepada  Allah SWT daripada melakukan segala dosa maksiat sama ada sedar atau pun tidak sedar, dosa besar mahupun dosa kecil. Seterusnya, dalam melaksanakan taubat hendaklah memenuhi syarat-syaratnya, agar taubat kita diterima oleh Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam surah al Syuraa ayat 42

إِنَّمَا السَّبِيلُ عَلَى الَّذِينَ يَظْلِمُونَ النَّاسَ وَيَبْغُونَ فِي الْأَرْضِ بِغَيْرِ الْحَقِّ أُولَئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ 

Maksudnya: Sesungguhnya jalan (untuk menyalahkan) hanyalah terhadap orang-orang yang melakukan kezaliman kepada manusia dan bermaharajalela di muka bumi dengan tiada sebarang alasan yang benar. Mereka itulah orang-orang yang beroleh azab seksa yang tidak berperi sakitnya.

Taubat tidak boleh hanya sekadar kita  berdoa kepada Allah SWT dan melakukan solat taubat semata-mata. Antara syarat taubat bila melibatkan hak orang lain adalah, harus menyesali dan berusaha untuk mengembalikan harta milikan orang lain. Hendaklah sesiapa yang ingin bertaubat itu melepaskan diri dari belenggu kezaliman silamnya yang dahulu dengan melunaskan kembali perkara tersebut dengan:

  • Membayar kembali jika berkaitan dengan duit dan harta benda.
  • Hendaklah meminta dihalalkan atau meminta supaya dia memaafkan diri kita.

Walau bagaimanapun, sekiranya pemilik duit tersebut tidak dapat diketahui dan dikesan keberadaannya, maka sebaiknya diserahkan duit tersebut kepada Baitulmal dengan menyatakan asal usul duit berkenaan. Ini adalah kerana jika pemilik duit tersebut dijumpai, maka dia berhak untuk mendapatkan wang itu semula seandainya dia kehendaki.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-87 yang bersidang pada 23-25 Jun 2009 telah membincangkan Hukum Penyaluran Harta Tidak Patuh Syariah Ke Baitulmal Dan Institusi Islam Lain. Muzakarah telah memutuskan bahawa; harta-harta yang diperolehi dengan cara yang tidak mematuhi syariah seperti riba, gharar, perjudian, penipuan, rompakan, rampasan, rasuah dan seumpamanya adalah haram dan tidak boleh digunakan untuk manfaat dan kepentingan diri sendiri serta perlu dibersihkan melalui kaedah-kaedah berikut:

1. Diserahkan kepada Baitulmal untuk maslahah-maslahah umum umat Islam seperti membiayai pembinaan atau penyelenggaraan jambatan, jalan, tandas dan seumpamanya,atau

2. Diserahkan kepada golongan fakir miskin; atau

3. Jika harta tersebut merupakan harta rompak, curi dan seumpamanya, maka harta tersebut perlu diserahkan semula kepada pemiliknya. Jika pemiliknya telah meninggal dunia atau tidak dapat dijumpai, maka harta tersebut mestilah dikembalikan kepada ahli warisnya. Sekiranya tidak dapat diketahui pemilik atau ahli waris pemilik, maka harta tersebut hendaklah diserahkan kepada Baitulmal.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2022
Jumlah Pelawat : 205

message user image