BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Saya membayar bil Wifi dengan menggunakan duit haram. Wifi tersebut saya gunakan untuk perniagaan online seperti dropship dan pelaburan saham.

Apa hukumnya duit untung dari perniagaan online tersebut, adakah duit itu haram?

Mohon bantuan pihak Mufti. Terima kasih banyak kerana sudi menjawab soalan saya. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Dalam Islam sememangnya umat Islam perlu memastikan sumber pendapatan yang diperolehi dengan jalan yang mematuhi kehendak Syarak. Sebagaimana Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 188:

وَلَا تَأۡكُلُوۤا۟ أَمۡوَ ٰ⁠لَكُم بَیۡنَكُم بِٱلۡبَـٰطِلِ

Maksudnya: Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil/salah.

Oleh yang demikian, wang haram adalah tidak boleh digunakan untuk apa-apa urusan berkaitan seperti membayar sewa, wifi dan sebagainya. Walaupun ianya bukan untuk keperluan makan, ia tetap dilarang.

Apa yang perlu dilakukan oleh tuan, adalah:

  1. Bertaubat kepada Allah SWT akan kesalahan yang dilakukan dan tidak akan mengulangi lagi.
  2. Harta tersebut boleh dipindah milik kepada Majlis Agama Islam Negeri (BaitulMal) atau Harta tersebut boleh dipindah milik kepada Majlis Agama Islam Negeri (BaitulMal) atau untuk kegunaan manfaat umum seperti masjid, jalan raya dan sebagainya. 

Berkaitan pula dengan perniagaan secara online seperti dropship atau pelaburan saham yang menggunakan talian wifi yang dibayar menggunakan wang haram, ia boleh menjadikan keuntungan yang diperolehi mengandungi unsur syubhah yang menjadikannya haram. Ini adalah kerana cara penghasilan yang diperolehi menggunakan cara atau kaedah yang tidak halal. Seperti seorang pemancing memancing ikan menggunakan kail yang dicuri. Penggunaan kail itu untuk sebarang tujuan secara umumnya adalah haram. Ini menjadikan, hasil ikan yang diperolehi menggunakan kail tersebut menggandungi unsur syubhah yang boleh membawa kepada haram.  

Kesimpulannya, tuan adalah disarankan untuk meninggalkan perbuatan tersebut. Ini adalah kerana dibimbangi keuntungan dari hari pelaburan atau perkhidmatan yang diberikan tidak mendapat keberkatan. Menjauhkan atau menghindarkan diri daripada perkara syubhah adalah dituntut. Ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Al-Nu'man ibn Basyir RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:                                                               

إِنَّ الْحَلَالَ بَيِّنٌ، وَإِنَّ الْحَرَامَ بَيِّنٌ، وَبَيْنَهُمَا مُشْتَبِهَاتٌ لَا يَعْلَمُهُنَّ كَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ، فَمَنِ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ، وَعِرْضِهِ، وَمَنْ وَقَعَ فِي الشُّبُهَاتِ وَقَعَ فِي الْحَرَامِ

Maksudnya: Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Di antara keduanya terdapat perkara-perkara yang syubhah (samar-samar) yang tidak diketahui oleh orang banyak. Maka siapa yang takut terhadap syubhah berarti dia telah menyelamatkan agamanya dan kehormatannya. Dan siapa yang terjerumus dalam perkara syubhah, maka akan terjerumus dalam perkara yang diharamkan. (Riwayat Muslim, Abu Daud, Ibnu Majah).

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2022
Jumlah Pelawat : 149

message user image