Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum ustaz. Saya mahu bertanya. Saya mahu melakukan aqiqah bagi anak perempuan saya yang baru lahir. Saya ade buat tempahan cattering dan set aqiqah bagi katering tu kambing tersebut akan dimasak secara golek/kambing golek. Tapi ada yang mengatakan tidak boleh dan perlu dimasak manis jugak. Jadi pertanyaan saya bolehkan kambing aqiqah tersebut dimasak secara kambing golek dan sah atau tidak aqiqah saya tersebut. Terima kasih
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Menurut istilah hukum syarak aqiqah ialah penyembelihan haiwan tertentu yang dilakukan untuk anak yang baru lahir sebagai tanda bersyukur kepada Allah SWT. Imam Syafi’i berpandangan bahawa hukum melaksanakan aqiqah adalah Sunnah Muakkadah (Sunat yang dituntut) kecuali apabila dinazarkan hukumnya menjadi wajib. Ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Samrah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
الغُلاَمُ مُرْتَهَنٌ بِعَقِيقَتِهِ يُذْبَحُ عَنْهُ يَوْمَ السَّابِعِ، وَيُسَمَّى، وَيُحْلَقُ رَأْسُهُ
Maksudnya: "Tiap-tiap anak itu tertebus (terpelihara daripada kemudaratan dan kemungkaran) dengan aqiqahnya, disembelih haiwan untuknya pada hari ketujuh, diberi nama dan dicukur kepalanya".
(Riwayat al-Tirmizi)
Merujuk kepada persoalan tuan, adalah harus memasak daging kambing atau binatang aqiqah dengan cara dipanggang atau golek. Adapun memasaknya dengan masakan manis merupakan pandangan sebahagian Ulamak dan tiada nas syarak yang menetapkan kaedah atau cara masakan tertentu bagi daging aqiqah.
والله أعلم بالصواب