Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Yang Berbahagia Datuk/Dato’/Dr/Tuan Hj/Ustadz/Pegawai Mufti.
Soalan saya berhubung pengurusan harta pusaka yang ditinggalkan oleh arwah kakak saya.
Untuk makluman Yang Berbahagia Datuk/Dato'/Tuan Hj/Ustadz, Mahkamah Tinggi telah memutuskan keseluruhan harta arwah kakak dalam bentuk tunai +- RM1.7 Juta diberikan kepada ayah saya memandangkan arwah kakak masih belum berkahwin semasa arwah meninggal. (Ibu saya telah meninggal terlebih dahulu sebelum kematian arwah kakak). Harta Arwah tersebut umumnya diperolehi daripada pampasan Insurans semasa arwah berkerja bersama pihak Astro Malaysia, Personal Insurance arwah bersama Prudential, Great Eastern, dan MCiS.
Semasa hayat arwah, arwah ada membeli sebuah rumah tanga perlindungan Insurans rumah. Rumah tersebut masih berbaki pembiayaannya sekitar RM1.3 Juta.
Ayah saya selanjutnya mengkhendaki Harta tersebut ditadbir oleh kami adik beradik sebaiknya mengikut kesesuaian dan yang terbaik. Namun kami sekeluarga dimaklumkan, harta yang diperolehi daripada pampas insurans itu tidak boleh digunakan semudah itu kerana kesuciannya diragui. Kami sekeluarga hanya boleh menggunakan sebahagian harta tersebut sebanyakmana nilai caruman yang dikeluarkan oleh arwah kakak. The rest perlu diagih/disedekah ke tempat-tempat lain. Adakah itu benar?
Bagaimana kedudukan harta pampasan insurans tempat kerja arwah kakak kerana arwah tidak mencarum untuk itu kerana ianya dibayar oleh pihak Astro. Perlukah kami serahkan semuanya kepada badan-badan kebajikan atau tempat lain? Adakah pihak keluarga boleh menggunakan wang insurans tersebut untuk menyelesaikan baki pembiayaan rumah arwah?
Kami keliru dan khuatir. Mohon pencerahan Yang Berbahagia Datuk/Dato’/Dr/Tuan Hj/Ustadz/Pegawai Mufti.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada soalan yang diajukan,
Wang pampasan insurans konvensional termasuk di dalam harta tidak patuh syariah kerana urusniaga yang dijalankan adalah tidak menepati hukum syara' sebagaimana yang telah ditetapkan di dalam Islam, yang mana ia mengandungi elemen riba, gharar (ketidaktentuan) dan judi. Perkara ini telah diputuskan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali ke 3/2011 yang bersidang pada 14 Jun 2011/ 12 Rajab 1432H telah memutuskan seperti berikut;
i. Insurans Konvensional adalah suatu muamalat yang diharamkan oleh Islam kerana amat bercanggah dengan Prinsip Islam. Oleh yang demikian, Pampasan Polisi Insurans Konvensional yang diterima oleh ahli waris adalah dikira sebagai harta tidak patuh syariah.
ii. Jumlah bayaran pokok pembeli polisi ketika hayat sahaja dikategorikan sebagai harta pusaka si mati yang perlu diagihkan secara faraid. Manakala pampasan polisi insurans konvensional tersebut wajib dilupuskan untuk tujuan disucikan harta tersebut dengan diserahkan sama ada kepada pihak Baitulmal atau didermakan untuk tujuan kebajikan termasuk kepada golongan fakir dan miskin.
Manakala bagi isu wang pampasan kematian pekerja yang diberi oleh pihak Astro tidak termasuk dalam Harta Tidak Patuh Syariah dan ia boleh dimanfaatkan oleh keluarga. Perkara ini telah diputuskan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Hukum Syara’ (FATWA) Negeri Selangor yang telah bersidang pada 16 Januari 2001 memutuskan bahawa WANG PAMPASAN KEMATIAN PEKERJA YANG DIANUGERAHKAN OLEH KERAJAAN DAN SYARIKAT SWASTA ini tidaklah dianggap sebagai harta pampasan, sebaliknya ia merupakan hadiah atau pemberian yang pihak syarikat berikan kepada keluarga pekerja yang meninggal dunia. Oleh itu pembahagiannya tidak tertakluk kepada cara pembahagian harta pusaka.
Berbalik kepada persoalan boleh atau tidak peninggalan di mati tersebut digunakan untuk membayar baki hutang pinjaman rumahnya ia bergantung kepada ketentuan yang dinyatakan di atas.
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.