BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum ustaz,

Sy nk bertanya, dlm tempoh iddah (bercerai hidup)

bolehkah suami dan bekas isteri duduk berlainan rumah?

Tambahan pula seseorang itu akan stress, tidak selesa dan mempengaruhi 'mental health' disebabkan sikap masing2. 

Terima kasih ustaz 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه اجمعين أما بعد  

Apabila seorang suami menceraikan isterinya, maka wajib ke atas bekas suami untuk memberikan nafkah tempat tinggal kepada bekas isteri semasa tempoh iddah, sama ada bekas isteri berkenaan diceraikan secara talak raj’i atau ba’in, sama ada dia hamil atau tidak.

Ini berdasarkan firman Allah SWT  di dalam surah al-Talaq: 1:

يَاأَيُّهَا النَّبِيُّ إِذَا طَلَّقْتُمُ النِّسَاءَ فَطَلِّقُوهُنَّ لِعِدَّتِهِنَّ وَأَحْصُوا الْعِدَّةَ وَاتَّقُوا اللَّهَ رَبَّكُمْ لَا تُخْرِجُوهُنَّ مِنْ بُيُوتِهِنَّ وَلَا يَخْرُجْنَ إِلَّا أَنْ يَأْتِينَ بِفَاحِشَةٍ مُبَيِّنَةٍ وَتِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ وَمَنْ يَتَعَدَّ حُدُودَ اللَّهِ فَقَدْ ظَلَمَ نَفْسَهُ لَا تَدْرِي لَعَلَّ اللَّهَ يُحْدِثُ بَعْدَ ذَلِكَ أَمْرًا

Maksudnya: Wahai Nabi! Apabila kamu - (engkau dan umatmu) - hendak menceraikan isteri-isteri (kamu), maka ceraikanlah mereka pada masa mereka dapat memulakan idahnya, dan hitunglah masa idah itu (dengan betul), serta bertaqwalah kepada Allah, Tuhan kamu. Janganlah kamu mengeluarkan mereka dari rumah-rumah kediamannya (sehingga selesai idahnya), dan janganlah pula (dibenarkan) mereka keluar (dari situ), kecuali (jika) mereka melakukan perbuatan keji yang nyata. Dan itulah aturan-aturan hukum Allah (maka janganlah kamu melanggarnya); dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah maka sesungguhnya ia telah berlaku zalim kepada dirinya. (Patuhilah hukum-hukum itu, kerana) engkau tidak mengetahui boleh jadi Allah akan mengadakan, sesudah itu, sesuatu perkara (yang lain).

Begitu juga di dalam surah al-Talaq: 6, Allah SWT berfirman:

أَسْكِنُوهُنَّ مِنْ حَيْثُ سَكَنْتُمْ مِنْ وُجْدِكُمْ وَلَا تُضَارُّوهُنَّ لِتُضَيِّقُوا عَلَيْهِنَّ ۚ

Maksudnya: Tempatkanlah isteri-isteri (yang menjalani idahnya) itu di tempat kediaman kamu sesuai dengan kemampuan kamu; dan janganlah kamu adakan sesuatu yang menyakiti mereka (di tempat tinggal itu) dengan tujuan hendak menyusahkan kedudukan mereka (supaya mereka keluar meninggalkan tempat itu).

Adalah menjadi tanggungjawab bekas suami untuk menyediakan tempat tinggal untuk bekas isterinya beriddah, sama ada dengan membenarkannya tinggal di rumah tempat kebiasaan mereka tinggal semasa suami isteri, atau menyediakan tempat tinggal lain yang bersesuaiannya dengannya.

Berdasarkan pendapat muktamad mazhab Syafie, tidak boleh bagi bekas suami untuk melihat aurat bekas isteri atau tinggal bersamanya di dalam rumah iddah berkenaan, sama ada talak raj`ie atau talak ba’in. Haram bagi suami untuk masuk ke rumah tempat isterinya beriddah kerana membawa kepada khalwat dan mengganggunya. Ini bertepatan dengan ayat sebelum ini yang menyebut:

وَلَا تُضَارُّوهُنَّ لِتُضَيِّقُوا عَلَيْهِنَّ

Maksudnya: dan janganlah kamu adakan sesuatu yang menyakiti mereka (di tempat tinggal itu) dengan tujuan hendak menyusahkan kedudukan mereka.

Ini kerana isteri yang sudah ditalakkan adalah wanita ajnabi (asing) kepada bekas suami itu. Inilah pendapat muktamad seperti yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi Rahimahullah dalam Raudhah al-Talibin 

Adapun sekiranya terdapat mahram, kepada bekas isteri atau suami, sama ada lelaki dan wanita, atau wanita ajnabi, yang boleh menghalang daripada berlaku khalwat dan masing-masing tinggal di bilik atau tingkat berasingan, maka dibenarkan kepada bekas suami itu tinggal bersama dan masuk ke rumah iddah. Walau bagaimanapun hukumnya adalah makruh.

 

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2022
Jumlah Pelawat : 186

message user image