Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalammualaikum. Saya ingin bertanya. Dulu sewaktu belajar, saya sering bernazar untuk berpuasa sekiranya lulus. Jumlahnya agak banyak sehingga saya pun lupa jumlah sebenar dan saya merasakan hidup saya sekarang sering dalam kesusahan kerana tidak menunaikan nazar tersebut. Namun, agak sukar untuk saya melakukan puasa tersebut ditambah dengan puasa ganti Ramadhan (kerana uzur, menyusui). Adakah saya tetap perlu menunaikan puasa tersebut atau ada cara lain untuk saya tunaikan nazar tersebut?
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada soalan yang diajukan,
Nazar adalah mewajibkan ke atas diri sendiri perbuatan qurbah (mendekatkan diri dengan Allah) yang tidak ditentukan dalam syarak, sama ada secara mutlak atau pun dengan menta’liqkan (iaitu mengaitkan) dengan suatu perkara.
Hukum melunaskan nazar adalah WAJIB sebagaimana hadis bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Barangsiapa yang bernazar untuk mentaati Allah maka hendaklah dia melaksanakan ketaatan itu, dan barangsiapa yang bernazar untuk melakukan maksiat maka janganlah dia melakukan maksiat itu. (Riwayat al-Bukhari)
Memandangkan menunaikan nazar itu merupakan sesuatu yang wajib maka Puan perlu berusaha terlebih dahulu untuk menunaikan nazar yang telah diniatkan itu dengan mengambil satu jumlah yang diyakini dengan membuat pengiraan jumlah tahun belajar. Seterusnya berpuasalah mengikut jumlah yang diyakini itu selebihnya mohonlah keampunan daripada Allah SWT atas kekurangan atau kesilapan. Tiada tempoh masa tertentu bagi Puan melaksanakan nazar tersebut.
Namun setelah berusaha sedaya upaya namun tidak berkemampuan untuk meneruskan puasa atas alasan kesihatan atau apa-apa sebab yang dibenarkan oleh syarak maka Puan perlu membayar kaffarah nazar iaitu dengan memberi makan 10 orang fakir miskin atau memberi pakaian kepada 10 orang fakir miskin. Pengiraan kadar kaffarah adalah berdasarkan makanan asasi. Makanan asasi tersebut hendaklah diberi kepada fakir dan miskin dan ia juga boleh dilaksanakan melalui wang tunai.
Kadar makanan seorang dikira dengan secupak beras iaitu bersamaan 675 gram atau 1/4 daripada kadar zakat fitrah yang dibayar. Kadar zakat fitrah semasa adalah RM7.00. Maka kadar 1/4 zakat fitrah adalah RM 1.75.
Walau bagaimanapun, adalah digalakkan golongan yang berkemampuan untuk menunaikan zakat fitrah mengikut harga beras yang dimakan setiap hari bagi diri dan tanggungan iaitu sebanyak RM 14.00 seorang bagi yang memakan beras putih import/ beras perang/ beras pulut/ herba ponni/ beras wangi. Manakala RM 21.00 seorang bagi individu yang memakan beras basmathi/ beras jepun/ beras merah. Oleh yang demikian, kadar bayaran kaffarah semasa yang ditetapkan adalah sebanyak RM 1.75 atau RM 3.50 atau RM 5.25.
Puan boleh memilih untuk membuat pembayaran kaffarah secara tunai kepada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS). Namun pihak MAIS diharuskan mengambil upah sebanyak 15% tidak termasuk kadar sebenar bayaran kaffarah bagi tujuan pengurusan. Maka, Puan boleh memilih untuk membayar kaffarah dengan memberi makan seorang fakir miskin sama ada RM 2.00 atau RM 4.00 atau RM 6.00.
Maklumat lanjut mengenai bayaran kaffarah, Puan boleh rujuk di laman rasmi MAIS berikut:
https://www.mais.gov.my/kaffarah/3/
Untuk urusan pembayaran kaffarah secara tunai kepada MAIS, Puan boleh berurusan secara atas talian di alamat berikut:
https://fpx.mais.gov.my/epay/kaffarah.php
Di sini kami ingin mengambil kesempatan untuk menasihati Puan supaya tidak bernazar dengan sesuatu perkara yang akan memberatkan diri sendiri untuk menunaikannya di masa depan. Ini kerana Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
«لَا تَنْذِرُوا، فَإِنَّ النَّذْرَ لَا يُغْنِي مِنَ الْقَدَرِ شَيْئًا، وَإِنَّمَا يُسْتَخْرَجُ بِهِ مِنَ الْبَخِيلِ»
Maksudnya: Janganlah kamu untuk bernazar (dengan sesuka hati), kerana sesungguhnya nazar tidak akan mengubah daripada takdir yang telah ditentukan Allah SWT sedikitpun. Hanyasanya ia dikeluarkan daripada orang yang bakhil.
(Riwayat Muslim).
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.