Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum tuan..
Suami saya baru sahaja meninggal 2 bulan lepas akibat kemalangan jalan raya...
sebelum kami bernikah, kami pernah bergaduh dan arwah suami ada nyatakan yg dia tidak akan bernikah dengan saya sampai dia bersumpah laknat..
"wallahi watallahi wabillahi.. aku tak akan nikah dengan kau walau apa pun jadi... mati pun aku sanggup dari nikah dengan kau"
kemudian kami berbaik semula dan akhirnya bernikah.. selepas bernikah saya lupa nak tanya mengenai sumpah yg dia buat dahulu samaada dia ada tarik balik atau tidak... selepas 2 bulan kami bernikah arwah suami meninggal dunia..
apa hukum nya tuan, berdosa ke kami?. saya tak nak arwah suami disiksa di sana.apa yang perlu saya lakukan sebagai isteri untuk membantu suami saya di sana?
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Sumpah (al-Yamin)
Sumpah dari segi istilah syarak bermaksud : Sesuatu lafaz yang menguatkan sesuatu perkara dengan disabitkan menyebut bersamanya nama Allah SWT atau sifat-Nya dengan lafaz yang khusus.
Dan di antara dalil pensyariatannya seperti firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah, ayat 224 :
وَلَا تَجْعَلُوا اللَّـهَ عُرْضَةً لِّأَيْمَانِكُمْ أَن تَبَرُّوا وَتَتَّقُوا وَتُصْلِحُوا بَيْنَ النَّاسِ ۗ وَاللَّـهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ
Maksudnya: (Dan janganlah kamu jadikan nama) Allah dalam sumpah kamu sebagai benteng yang menghalangi kamu daripada berbuat baik dan bertaqwa, serta mendamaikan perbalahan antara sesama manusia. Dan (ingatlah), Allah sentiasa mendengar, lagi sentiasa mengetahui.
Di antara syarat yang menyebabkan dikenakan kaffarah adalah sumpah yang didatangkan dengan lafaz nama Allah SWT atau sifat-Nya. Sekiranya sebaliknya maka sumpah itu tidak dikenakan kaffarah. Perkara ini dinyatakan Syeikh Dr Muhammad Al-Zuhaili di dalam kitabnya Al-Mu'tamad fi Al-Fiqh Al-Syafi'i: “Dan sekiranya berkata: aku bersumpah atau aku berazam untuk melakukan itu dan ini, tanpa menyebut nama Allah SWT tidak dikira sebagai sumpah (al-Yamin) walaupun berniat sumpah. Ini kerana sumpah (al-Yamin) tidak dikira melainkan menyebut nama Allah atau Sifat-Nya untuk mengukuhkan sumpahnya”
Kaffarah Sumpah
Untuk dikenakan kaffarah mestilah memenuhi segala rukun serta syarat-syaratnya. Dan sekiranya sempurna segalanya maka wajib dikenakan kaffarah sepertimana Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah, ayat 89 :
لَا يُؤَاخِذُكُمُ اللَّـهُ بِاللَّغْوِ فِي أَيْمَانِكُمْ وَلَـٰكِن يُؤَاخِذُكُم بِمَا عَقَّدتُّمُ الْأَيْمَانَ ۖ فَكَفَّارَتُهُ إِطْعَامُ عَشَرَةِ مَسَاكِينَ مِنْ أَوْسَطِ مَا تُطْعِمُونَ أَهْلِيكُمْ أَوْ كِسْوَتُهُمْ أَوْ تَحْرِيرُ رَقَبَةٍ ۖ فَمَن لَّمْ يَجِدْ فَصِيَامُ ثَلَاثَةِ أَيَّامٍ ۚ ذَٰلِكَ كَفَّارَةُ أَيْمَانِكُمْ إِذَا حَلَفْتُمْ ۚ وَاحْفَظُوا أَيْمَانَكُمْ ۚ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّـهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
Maksudnya: Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah oleh-Nya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat dengan bersungguh-sungguh. Maka bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba. Kemudian sesiapa yang tidak dapat (menunaikan denda yang tersebut), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah denda penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah. Dan jagalah - peliharalah sumpah kamu. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayat-Nya (hukum-hukum ugama-Nya) supaya kamu bersyukur.
Adapun berkenaan dengan kaffarah sumpah orang yang meninggal, sekiranya tidak pasti berapa bilangannya, maka warisnya di tuntut membayar kaffarahnya dengan kadar yang minima menggunakan harta peninggalan si mati. Ini seperti yang disebut oleh Imam Khatib al-Syarbini di dalam kitabnya Mughni al-Muhtaj: “Barang siapa yang telah meninggal dunia dan meninggalkan tanggungan kaffarah, maka dituntut untuk membayarnya daripada harta warisannya dengan kadar yang paling ringan”.
Dalam perkara ini puan tidak berdosa kerana bukan puan yang bersumpah sebaliknya suami puan. Allah SWT berfirman di dalam surah al-An'am, ayat 164:
وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَى
Maksudnya: dan seseorang tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja).
Apa yang puan boleh lakukan adalah membayar kaffarah bagi pihak suami puan. Perbanyakkanlah berdoa memohon keampunan bagi diri puan dan suami. Sesungguhnya Allah SWT Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.
Maklumat mengenai kafarrah serta cara pembayarannya, puan boleh rujuk di laman rasmi MAIS berikut:
https://www.mais.gov.my/kaffarah/3/
والله أعلم بالصواب