BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum. Sesudah mandi wajib dan tidak lama kemudian selepas itu, saya rasa was was ada bahagian yang tidak kena air. Waktu sudah lewat malam, jadi saya ingin sambung mandi tersebut selepas saya bangun dari tidur hanya untuk kenakan kepada bahagian yang saya ragu ragu itu. Adakah sah mandi wajib saya jika saya melakukan sedemikian?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه اجمعين أما بعد

Mandi wajib dari sudut syarak  bermaksud mengalirkan air ke seluruh tubuh dengan niat tertentu atau mengangkat (menghilangkan) hadas besar, seperti mandi junub, mandi kerana selesai haid atau nifas dan sebagainya. Dalam melaksanakan mandi wajib ini, para ulama’ telah menetapkan bahawa rukun bagi mandi wajib hanya tiga, iaitu:

  1. Niat.
  2. Menghilangkan najis jika sekiranya ada pada badan.
  3. Meratakan air ke seluruh rambut (bulu-bulu) dan badan.

Jika dilihat kepada rukun  bagi mandi wajib, seseorang itu hanya perlu untuk menghilangkan najis pada tubuh badannya sekiranya ada dan meratakan air ke seluruh badan dengan disertakan niat untuk mengangkat hadas. Apabila seseorang itu memenuhi rukun-rukun  mandi wajib maka sahlah mandi wajibnya dan tidak perlu untuk mengulanginya sekali lagi.

Oleh yang demikian, puan haruslah memastikan bahawa mandi wajib yang puan lakukan itu sah bagi membolehkan  menunaikan ibadah. Jika sekiranya puan telah melaksanakan ibadah dengan keyakinan terhadap kesucian diri dengan mandi tersebut, maka tidak perlu untuk mengulanginya walaupun telah mandi dengan sekadarnya sahaja.

Dalam keadaan perasaan was-was yang puan alami, maka hukum mandi wajib yang puan laksanakan adalah sahkerana kaedah fiqah menyebutkan bahawa:

1) اليَقِينُ لَا يَزُولُ بِالشَّك

Maksudnya: Keyakinan tidak akan terangkat dengan syak.

2) الأَصْلُ بَقَاْءُ مَا كَانَ عَلَى مَا كَانَ

Maksudnya: Asal hukum sesuatu itu kekal mengikut apa yang sebelumnya.

Untuk pengetahuan puan, pada pandangan mazhab Syafi'i, tidak menjadi kewajipan di dalam melaksanakan mandi wajib untuk meratakan air ke seluruh anggota badan secara muwalah iaitu berturut tanpa putus. Sebaliknya perkara tersebut adalah disunatkan. Oleh itu, adalah diharus untuk melaksanakan mandi wajib secara berperingkat atau terputus. Seperti peringkat pertama membasuh bahagian leher ke bawah sahaja. Kemudian selang beberapa lama, walaupun air pada badan telah kering, menyambung semula mandi wajib tadi dengan hanya membasuh bahagian leher hingga ke atas sahaja. Walau bagaimanapun, puan perlu berniat semula mandi wajib semasa menyambung semula mandi wajib tadi. 

 

والله أعلم بالصواب

 

 . 


Tahun Soalan : 2022
Jumlah Pelawat : 562

message user image