BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

assalamualaikum ustaz,saya nak tanya,tentang dosa jariah,kalo kita muat naik apa jua jenis yang di larang agama adalah dosa jariah kita,apa lagi kalo tidak memenuhi syarak,sampai kita mati pun tetap dosa jariah kita,yang menjadi kemuskilan saya ustaz,jika kita tidak tahu atau orang lain yang memuat naik video atau gambar yang tak senonoh tanpa sepengetahuan kita macam mana itu ustaz,apakah di kira dosa jariah juga. ,sedangkan orang yang mencuri membuat gambar atau video yang tak senonoh dan menyebarkannya, terimakasih


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته        

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد

Menggunakan saluran media sosial merupakan kaedah yang paling mudah dan berkesan pada masa kini dalam menghebahkan sesuatu perkara sama ada hebahan tersebut bertepatan dengan Hukum Syarak atau sebaiknya. Sekiranya hebahan tersebut menepati kehendak Hukum Syarak maka penyebar maklumat tersebut akan mendapat pahala selama mana orang lain mendapat faedah daripadanya. Sebaliknya jika ia bertentangan dengan Hu kum Syarak maka penyebar maklumat akan menaggung dosa selama mana orang lain terjebak dalam kemaksiatan atau dosa. Dalam sebuah hadis, Jarir bin Abdullah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda ; 

 مَن سَنَّ في الإسْلَامِ سُنَّةً حَسَنَةً، فَعُمِلَ بهَا بَعْدَهُ، كُتِبَ له مِثْلُ أَجْرِ مَن عَمِلَ بهَا، وَلَا يَنْقُصُ مِن أُجُورِهِمْ شيءٌ، وَمَن سَنَّ في الإسْلَامِ سُنَّةً سَيِّئَةً، فَعُمِلَ بهَا بَعْدَهُ، كُتِبَ عليه مِثْلُ وِزْرِ مَن عَمِلَ بهَا، وَلَا يَنْقُصُ مِن أَوْزَارِهِمْ شيءٌ

Maksudnya: Sesiapa yang  menunjukkan contoh yang baik (selari dengan Hukum Syarak) dalam Islam, lalu ia diamalkan selepas itu oleh orang lain, maka akan ditulis pahala baginya seperti orang yang melakukannya tanpa dikurangi pahala tersebut walaupun sedikit. Sebaliknya sesiapa yang menunjukkan contoh yang buruk (bercanngah dengan Hukum Syarak), lalu ia diamalkan sesudahnya, maka akan ditulis dosa ke atasnya seperti dosa pelakunya tanpa dikurangi walaupun sedikit.  

(Riwayat Muslim)

Merujuk kepada persoalan yang diajukan, tindakan menyebarkan perkara yang haram seperti video dan gambar yang tidak senonoh merupakan perbuatan yang keji dan diharamkan dalam Islam. Sekiranya gambar atau video tersebut dicuri atau akaun kita telah diceroboh oleh individu lain, lalu menyebarkan kemaksiatan melalui media sosial, maka pemilik asal tidak menanggung dosa, tetapi orang yang menyebarkan gambar atau video tersebut telah melakukan dosa membuka aib orang lain dan akan menanggung dosa selama mana ia ditonton atau disaksikan oleh orang lain. Ianya dengan syarat bahawa pemilik asal tidak merestui perkara tersebut dan berusaha untuk memadamkannya..

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2022
Jumlah Pelawat : 315

message user image