Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Saya ada membaca satu pendapat mengenai puasa enam. Adakah pendapat ini sah dan boleh diterima?
- Sebahagian ulama Syafi’iyyah berpendapat sesiapa yang lewat berpuasa 6 hari pada bulan Syawal boleh mengqadha’nya pada bulan Dzul Qaedah. Namun pahalanya lebih sedikit berbanding orang yang berpuasa di bulan Syawal, maka sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian diikuti dengan 6 hari di bulan Syawal, ia sama seperti berpuasa selama setahun, berbeza dengan orang yang berpuasa pada bulan Ramadhan kemudian diikuti dengan 6 hari dalam bulan selain bulan Syawal, maka dia akan mendapat pahala puasa Ramadhan dan pahala puasa sunat.
- Ibnu Hajar al-Makki berkata di dalam Tuhfah al-Muhtaj: “Sesiapa yang melakukannya (6 hari di bulan Syawal) dengan Ramadhan setiap tahun, maka samalah dengan puasa fardhu selama setahun tanpa dilipat gandakan pahalanya, dan sesiapa yang berpuasa 6 hari selain pada bulan Syawal, maka sama dengan puasa sunat selama satu tahun dan tanpa dilipatgandakan pahalanya.”
- Justeru, kami menasihati bagi mereka yang tidak sempat untuk menyelesaikan puasa 6 hari pada bulan syawal dengan hanya sepat berpuasa 4 hari sahaja, maka dia boleh terus menyelesaikan baki puasa 2 harinya itu pada bulan Dzul Qaedah sebagai ganti atas keterlambatannya di bulan syawal. Dan ini ialah perbuatan yang baik, dan semoga ia masih mendapat pahala dengan rahmat dan fadhilat daripada Allah SWT.
Soalan saya : Adakah puasa enam masih boleh dilakukan jika terlepas dilaksanakan pd bulan syawal?
Terim kasih.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد
Puasa enam hari pada bulan Syawwal adalah tambahan kepada puasa Ramadhan yang akan mendapat ganjaran pahala besar di sisi Allah SWT. Ia merupakan peluang yang sepatutnya direbut oleh semua umat Islam. Perkara ini dinyatakan oleh Abu Ayyub al-Ansari RA menceritakan bahawa Rasulullah SAW bersabda;
مَن صامَ رَمَضانَ ثُمَّ أتْبَعَهُ سِتًّا مِن شَوَّالٍ، كانَ كَصِيامِ الدَّهْرِ
Maksudnya: Barang siapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan kemudian diikuti dengan puasa sunat enam hari pada bulan Syawwal maka akan mendapat pahala berpuasa setahun.
(Riwayat Muslim)
Adapun bagi sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan tetapi tidak berkesempatan berpuasa sunat enam hari pada bulan Syawwal, maka sunat baginya untuk mengqada' puasa Syawwal tersebut pada bulan selain Syawwal. Dari sudut pahala, sekiranya berjaya berpuasa pada bulan Ramadhan dan diikuti enam hari pada bulan Syawwal, maka pahalanya bersamaan puasa fadhu selama setahun. Adapun jika seseorang berjaya berpuasa pada bulan Ramadhan dan diikuti dengan enam hari pada bulan selain Syawwal, maka pahalanya bersamaan puasa sunat selama setahun sepertimana yang dinukilkan daripada kitab Tuhfatul Muhtaj.
والله أعلم بالصواب