BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, Saya ada soalan berkenaan youtube. Soalan pertama, Apakah hukum duit youtube jika terdapat iklan yang mengandungi aurat tetapi produk yang diiklankan/dijual adalah halal, Jadi adakah halal atau haram sumber pendapatan saya?. Soalan kedua, Adakah orang melihat iklan yang mengandungi aurat perlu saya tanggung dosa mereka?. Terima kasih tuan/puan.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد

Tidak dinafikan Industri pengiklanan merupakan sebuah industri yang membangun secara pesat di seluruh dunia melalui bidang pemasaran. iklan disampaikan kepada khalayaknya menggunakan pelbagai medium seperti televisyen, radio, laman sesawang, youtube, facebook, papan iklan, akhbar, majalah dan lain-lain lagi. Kebanyakkan iklan tersebut memaparkan imej wanita dan lelaki sebagai model yang memainkan peranan yang dikhususkan untuk mempromosikan sesuatu produk atau perkhidmatan yang diiklankan.

Secara asasnya, haram ke atas orang Islam untuk mendedahkan aurat sendiri atau aurat orang lain kepada orang bukan mahram mengikut batasan yang telah digariskan menurut Hukum Syarak. Hal ini kerana, menjaga mata, menutup aurat dan memelihara kehormatan adalah langkah untuk menjauhi daripada kemaksiatan berlaku. Larangan tersebut berdasarkan kepada firman Allah SWT di dalam surah Al-Nur, 31:

وَقُلْ لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوْ آبَائِهِنَّ أَوْ آبَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ أَبْنَائِهِنَّ أَوْ أَبْنَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي أَخَوَاتِهِنَّ أَوْ نِسَائِهِنَّ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُنَّ أَوِ التَّابِعِينَ غَيْرِ أُولِي الْإِرْبَةِ مِنَ الرِّجَالِ أَوِ الطِّفْلِ الَّذِينَ لَمْ يَظْهَرُوا عَلَى عَوْرَاتِ النِّسَاءِ وَلَا يَضْرِبْنَ بِأَرْجُلِهِنَّ لِيُعْلَمَ مَا يُخْفِينَ مِنْ زِينَتِهِنَّ وَتُوبُوا إِلَى اللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.

Justeru, pihak peniaga yang ingin melariskan produk jualan mahupun perkhidmatan mereka perlu menitikberatkan penjagaan maruah dan kehormatan selain berusaha menjauhi perkara-perkara yang boleh mengundang ke lembah kemaksiatan.

Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan, soalan pertama, pihak Youtube menawarkan pendapat dari pengiklanan yang disiarkan melalui video yang kita muat naik di Youtube. Seandainya iklan yang ditayangkan menawarkan sesuatu yang haram menurut syarak seperti penjualan minuman keras atau perjudian maka hasil dari pendapatan iklan tersebut adalah tidak halal. Sekiranya produk yang ditawarkan adalah halal, akan tetapi terdapat unsur yang melanggar syarak seperti mempamerkan aurat wanita, maka pendapatan dari pengiklanan tersebut adalah halal, namun ia dianggap berdosa kerana bersubahat atau membantu di dalam perkara kemaksiatan.   

Firman Allah SWT di dalam surah Al-Maidah, 2:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.

Bagi solan yang kedua pula, tuan dianggap turut menanggung dosa sekiranya tuan boleh memilih sama ada untuk mengizinkan atau tidak iklan itu untuk ditayangkan. Walau bagaimanapun, seandainya tuan tidak mempunyai pilihan, maka tuan tidak berdosa dengan syarat tidak menyukai atau merestui perkara tersebut.    

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2022
Jumlah Pelawat : 146

message user image