Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Saya ingin bertanyakan tentang solat tasbih.
1) jika saya melakukan solat tasbih di siang hari, maka rakaat ketiga dan keempat tu dibolehkan membaca surah?
2) bolehkah saya hanya setakat membaca سبحان الله والحمد لله ولا إله إلا الله والله أكبر” sahaja?
Terima kasih
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه اجمعين أما بعد
Solat sunat Tasbih merupakan salah satu solat sunat yang digalakkan. Ia boleh dilakukan pada bila-bila masa melainkan pada waktu yang diharamkan. Ia dikategorikan sebagai solat sunat mutlak yang tidak terikat dengan waktu atau sebab tertentu. Ia dinamakan solat sunat Tasbih kerana di dalam solat itu kita perlu membaca tasbih sebanyak 75 bagi setiap rakaat, keseluruhannya 4 rakaat, yang menjadikan jumlah tasbih yang dibaca sebanyak 300 kali. Solat sunat ini boleh dilakukan pada waktu siang atau malam. Apabila dilakukan pada waktu siang, ia ditunaikan sebanyak 4 rakaat dengan 1 salam. Mana kala apabila dilakukan pada waktu malam, ia ditunaikan sebanyak 4 rakaat dengan 2 salam.
Merujuk kepada soalan yang diajukan:
1. Diharuskan untuk membaca apa-apa surah selepas membaca surah al-Fatihah pada setiap rakaat, sama ada pada rakaat satu, dua, tiga dan empat.
2. Adalah memadai membaca tasbih: سبحان الله والحمد لله ولا إله إلا الله والله أكبر , tanpa menyempurnakan bacaan: سبحان الله والحمد لله ولا إله إلا الله والله أكبر ولا حول ولا قوة إلا بالله العلي العظيم.
والله أعلم بالصواب