Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalammualaikum,
Saya ingin bertanya mengenai puasa. Dulu saya kerap beronani, tetapi alhamdullilah sekarang saya sudah berhenti. Saya tahu beronani di siang hari ramadhan akan menyebabkan batalnya puasa kita. Saya tidak pasti bila saya mula beronani tetapi saya membuat anggaran lebih kurang pada tahun 2015 hingga 2021. Ada hari yang saya onani pada siang hari ramadhan dan ada hari yang tidak. Saya tidak pasti berapa hari yang puasa saya terbatal dan berapa hari puasa saya yang sah. Jadi, saya menganggapkan kesuluruhan bulan ramadhan itu tidak sah. Jadi, saya ingin qada semula puasa yang tidak sah iaitu pada tahun 2015 hingga 2021 iaitu bersamaan 210 hari (30 hari x 7 tahun). Jadi, adakah saya perlu membayar fidyah dan qada puasa ataupun qada puasa sahaja? Rancangan saya adalah untuk qada puasa seminggu satu kali. Insyallah dalam masa 4 tahun akan hilangnya perasaan ragu-ragu saya bagi hari yang saya rasa puasa saya tidak sah.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاتة
الحمدلله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المريلين وعلي أله وصحبه أجمعين أما بعد
Alhamdulillah di atas kesedaran dan kesungguhan saudara untuk mengqada' puasa tersebut. Berdasarkan kepada persoalan yang dikemukakan:
1) Saudara wajib qada' puasa dan juga membayar fidyah. Qada' bagi menggantikan puasa fardhu yang ditinggalkan sebanyak hari yang ditinggalkan. Manakala fidyah sebagai denda kerana melewat-lewatkan mengganti puasa sehingga sampai bulan Ramadhan yang baru.
2) Berkenaan bayaran fidyah pula:
Kadar fidyah adalah secupak makanan asasi penduduk, iaitu beras, bagi setiap hari yang ditinggalkan yang perlu diserahkan kepada fakir miskin. Pembayaran boleh dilakukan sendiri atau melalui Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) secara atas talian.
Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali Ke-5/2020 yang bersidang pada 17 Rabi’ul Awal 1442H bersamaan 3 November 2020 telah memutuskan bahawa kadar bayaran fidyah bagi satu hari puasa yang ditinggalkan ialah 1/4 daripada zakat fitrah yang dibayar.
Kadar zakat fitrah yang ditetapkan bagi umat Islam di Negeri Selangor pada bulan Ramadan tahun 2022 bersamaan 1443 Hijrah ialah sebanyak RM7.00 seorang. Penetapan kadar ini adalah berdasarkan kepada harga bagi 2.6 kilogram beras Super Tempatan Gred A yang lazimnya digunakan oleh masyarakat di Selangor.
Walau bagaimanapun, MAIS turut menggalakkan golongan yang berkemampuan untuk menunaikan zakat fitrah mengikut harga beras yang dimakan setiap hari bagi diri dan tanggungan iaitu sebanyak RM14.00 seorang bagi yang memakan beras putih import/ beras perang/ beras pulut/ herba ponni/ beras wangi. Manakala RM21.00 seorang bagi individu yang memakan beras basmathi/ beras jepun/ beras merah.
Oleh yang demikian, kadar bayaran fidyah semasa yang ditetapkan adalah RM1.75 atau RM3.50 atau RM5.25. Pihak MAIS juga diharuskan mengambil upah sebanyak 15% tidak termasuk kadar sebenar fidyah bagi tujuan pengurusan. Maka, umat Islam boleh memilih untuk membayar fidyah bagi satu hari puasa yang ditinggalkan termasuk upah sama ada RM2.00 atau RM4.00 atau RM6.00.
Di samping itu, Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Hukum Syara’ (FATWA) Negeri Selangor bertarikh 16 Januari 2001 telah memutuskan bahawa: Harus menggunakan 2 kaedah pembayaran:
1. Kaedah berganda: Jumlah hari puasa yang ditinggalkan x RM2@RM4@RM6 x jumlah tahun yang ditinggalkan.
2. Kaedah tidak berganda: Jumlah puasa yang ditinggalkan x RM2@RM4@RM6
Rujukan link fatwa: https://www.muftiselangor.gov.my/fatwa-personalisation/fatwa-tahunan/keputusan-fatwa-xwarta/2001-2005/812-hukum-gandaan-fidyah-dan-kifarah
Link pembayaran secara atas talian: https://fpx.mais.gov.my/epay/fidyah.php
Semoga usaha dan urusan saudara dipermudahkan oleh Allah SWT.
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.