Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum ustaz , saya nak bertanya . Kalau kita buat majlis perkahwinan , dan ada tetamu yang memberi sumbangan duit, duit itu hak siapa ? Ibu bapa atau pengantin? Saya konfius soal.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاتة
الحمدلله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المريلين وعلي أله وصحبه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada persoalan saudari, semasa majlis perkahwinan, duit sumbangan yang diberi kepada pengantin, adalah untuk pengantin sebagai hadiah. Jika duit itu diberi kepada ibu bapa, maka ia adalah milik ibu bapa. Adat kebiasaannya tetamu menyumbang pada siapa yang menjemput mereka, kerana ada tetamu jemputan dari pihak pengantin dan ada tetamu jemputan dari pihak ibu bapa. Dalam hal ini, boleh sahaja pasangan pengantin dan ibu bapa saling berbincang untuk mencapai keputusan bersama tentang wang sumbangan tersebut.
Adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk mengahwinkan anak kerana itu adalah tuntutan Islam. Jika hal duit menjadi persoalan, maka ibu bapalah yang lebih berhak ke atas harta anak mereka. Hadis daripada Jabir bin Abdullah RA ;
أَنَّ رَجُلا قَالَ: يَا رَسُولَ اللَّه, إِنَّ لِي مَالا وَوَلَدًا وَإِنَّ أَبِي يُرِيدُ أَنْ يَجْتَاحَ مَالِي, فَقَالَ رسول الله صلى الله عليه وسلم: أَنْتَ وَمَالُكَ لأَبِيكَ
Maksudnya: Sesungguhnya seorang lelaki telah berkata: Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku memiliki harta dan anak, dan ayahku ingin mengambil hartaku, maka Rasulullah SAW bersabda: “Kamu dan harta kamu adalah milik ayah kamu. (Riwayat Ibnu Majah)
والله أعلم بالصواب