BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Salam.

Nak tanya, apa hukum memetik pucuk bunga hiasan yang terdapat disekitar kawasan umum. Pokok hiasan adalah yang ditanam oeh pihak pengurusan kawasan (developer, majlis daerah, majlis bandaraya). Saya hanya ingin memetik pucuk untuk disemai dan dijadikan tanaman hiasan dirumah dan bukannya mengambil keseluruhan pokok bunga tersebut. Apa juga hukumnya jika saya semai dan saya jual hasil semaian dari pucuk bunga tadi. Terima Kasih


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Islam sangat mengambil berat berkaitan soal hak dan kewajipan terhadap penganutnya. Hal ini bertujuan memastikan keharmonian dan mengelakkan sebarang pertelingkahan dan pergaduhan.

Merujuk soalan saudara, bagi sesiapa yang ingin mengambil pokok hiasan tersebut perlu meminta izin terlebih dahulu daripada pihak berkenaan supaya tidak termasuk dalam kalangan mereka yang mendapat ancaman daripada Allah SWT kerana mengambil harta orang lain tanpa izin. Allah SWT telah memberikan peringatan supaya tidak mengambil harta orang lain dengan cara yang salah. Hal ini dijelaskan melalui firman Allah SWT dalam Surah al-Nisa’ ayat 29:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu.

Selain itu, Nabi Muhammad SAW juga memberi amaran keras kepada mereka yang merampas dan mengambil harta orang lain tanpa hak walaupun jumlahnya sedikit. Hadis daripada Aisyah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنِ اقْتَطَعَ شِبْرًا مِنَ الأرْضِ ظُلْمًا، طَوَّقَهُ اللَّهُ إِيّاهُ يَومَ القِيامَةِ مِن سَبْعِ أَرَضِينَ

Maksudnya: Sesiapa merampas hak sejengkal tanah, Allah akan menghimpitkan dirinya dengan tujuh petala bumi pada hari kiamat. (Riwayat Muslim)

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 


Tahun Soalan : 2022
Jumlah Pelawat : 221

message user image