Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum kepada yang berkenaan tuan/puan saya ingin bertanya sebelum bernikah saya telah berzina dengan pasangan saya, saya tahu ini adalah dosa paling besar tapi kerana nafsu saya telah terlanjur dengan pasangan saya. Sebelum bernikah saya 'TIDAK BERTAUBAT' dan setelah berapa bulan barulah kami bernikah. Pasangan saya juga menyatakan dia tidak bertaubat. Adakah perkahwinan kami sah? Setelah bernikah barulah kami dikurniakan anak. Saya ada baca satu artikel dimana mereka menyatakan perkahwinan tidak sah kalau tidak bertaubat sebelum bernikah. Saya buntu, adakah saya perlu akad nikah semula atau saya dan suami perlu bertaubat bersungguh sungguh kepada Allah tanpa memperbaharui akad nikah? Jika perlu akad nikah baru, perlu kah saya membawa wali saya atau sebaliknya. Saya tidak mahu wali saya tahu bahawa saya telah berzina sebelum bernikah. Saya harap tuan/puan dapat menjawab soalan saya terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, pernikahan yang cukup dan sempurna rukun serta syaratnya adalah sah di sisi syara’ dan undang-undang, sekalipun sedang hamil. Menurut pandangan Mazhab Syafi’i. Kebiasaannya sebelum akad nikah imam jurunikah akan minta pengantin untuk melafazkan istighfar dan selawat, itu sudah dikira sebagai lafaz taubat. Wajib bertaubat daripada dosa dan maksiat yang dilakukan. Taubat yang sebenar bukan satu perkara yang boleh dibuat-buat. Ia bukan satu lakonan. Perasaan insaf dan menyesal itu hadir dalam jiwa yang bukan diada-adakan, ia adalah penyesalan yang ikhlas dan bersungguh-sungguh. Jika berlaku lagi kejadian seperti melakukan dosa dan sebagainya, hendaklah segera kembali ke pangkal jalan. Hendaklah ia mengulangi taubat dan jangan berputus asa. Jauhi dari tipu daya syaitan dan hawa nafsu dalam diri. Ini berdasarkan firman Allah dalam surah Ali imran ayat 135 – 136 maksudnya : “Dan mereka yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat kepada Allah lalu memohon ampun dosa-dosa mereka dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah, dan mereka juga tidak meneruskan (perbuatan buruk) yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). Orang-orang yang demikian sifatnya, balasannya adalah keampunan dari Tuhan mereka, dan syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) mereka yang beramal”. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.