Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, saya ingin mengajukan soalan tentang pernikahan. Adakah sah pernikahan sekiranya sebutan nama kurang jelas semasa akad nikah? Akad nikah telah disahkan oleh tok kadi di jabatan agama islam. Tetapi semasa melihat ulang tayang video pernikahan, sebutan nama pengantin perempuan semasa akad nikah agak kurang jelas. Contoh nama pengantin perempuan Farhana jadi Farhanah.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Sesuatu pernikahan menjadi sah pada syara' apabila sempurna rukun dan syaratnya.
Nikah mempunyai lima rukun iaitu:
1. Lelaki
2. Perempuan
3. Wali
4. Dua orang saksi
5. Sighah (lafaz ijab dan qabul)
Menjawab persoalan tuan, pengesahan lafaz ijab dan qabul adalah tertakluk di bawah kuasa imam jurunikah serta dua orang saksi. Sekiranya imam jurunikah dan dua orang saksi berpuas hati dan mereka mendengar dengan jelas maka lafaz ijab dan qabul itu adalah sah pada hukum syara'. Walaupun mungkin visual melalui video tidak jelas tetapi dengan kedudukan imam jurunikah dan saksi yang lebih dekat dengan pengantin pasti mereka dapat mendengar dengan jelas dan berpuas hati dengan kesempurnaan lafaz tersebut.
Adapun sekiranya berlaku kesilapan sedikit sebutan pada nama pengantin perempuan, ia tidak menjejaskan kesahihan pernikahan tersebut kerana bakal isterinya itu telah ditentukan orangnya samada melalui dokumen permohonan nikah atau pengesahan sebelum akad nikah dilaksanakan.
والله أعلم بالصواب