Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalam, sy ada soalan mengenai riba, apa hukumnya kita membantu customer yg berurusan dgn kita dengan mengambil document seperti bank statement,Slip gaji untuk kita hantar kepada bank atau institusi pemberi pinjaman untuk customer mendapatkan pinjaman untuk membeli product yg dijual oleh kita,
sy bagi dua contoh
1- Sy seorang penjual kereta, customer datang untuk membeli kereta dekat tempat sy dan sudah tentu dia tiada wang yg cukup untuk buat pembayaran penuh harga kereta tersebut, jd sy minta dia serahkan document tertentu kepada sy (bank statement & slip gaji) untuk sy hantar ke bank2 dan institusi memberi pinjaman, setelah pinjaman customer tadi diluluskan, bank akan transfer pembayaran pembelian kereta customer tadi kepada sy tanpa ada perubahan sedikitpon drpd harga asal kemudian sy serahkan kereta kepada customer. Bermaksud sy mengambil keuntungan hasil jualan kereta tanpa ambil keuntungan drpd riba. jd apa hukumnya membantu customer tadi menyerah document kpd bank
2- Sy seorang penjual rumah, customer datang untuk membeli rumah dekat tempat sy dan sudah tentu dia tiada wang yg cukup untuk buat pembayaran penuh harga rumah tersebut, jd sy minta dia serahkan document tertentu kepada sy (bank statement & slip gaji) untuk sy hantar ke bank2 dan institusi memberi pinjaman, setelah pinjaman customer tadi diluluskan, bank akan transfer pembayaran pembelian rumah customer tadi kepada sy tanpa ada perubahan sedikitpon drpd harga asal kemudian sy serahkan kunci rumah kepada customer. Bermaksud sy mengambil duit hasil jualan rumah tanpa ambil keuntungan drpd riba. jd apa hukumnya membantu customer tadi menyerah document kpd bank??
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Hukum memohon pembiayaan kewangan dari pihak perbankan Islam adalah diharuskan sama ada untuk membeli rumah, kenderaan mahupun apa-apa tujuan yang dibenarkan oleh syarak. Sebaliknya pinjaman melalui bank konvensional yang melibatkan riba, maka hukumnya adalah haram sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 275:
ٱلَّذِینَ یَأۡكُلُونَ ٱلرِّبَوٰا۟ لَا یَقُومُونَ إِلَّا كَمَا یَقُومُ ٱلَّذِی یَتَخَبَّطُهُ ٱلشَّیۡطَـٰنُ مِنَ ٱلۡمَسِّۚ ذَ ٰلِكَ بِأَنَّهُمۡ قَالُوۤا۟ إِنَّمَا ٱلۡبَیۡعُ مِثۡلُ ٱلرِّبَوٰا۟ۗ وَأَحَلَّ ٱللَّهُ ٱلۡبَیۡعَ وَحَرَّمَ ٱلرِّبَوٰا۟ۚ
Maksudnya: Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk Syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (Syaitan) itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: "Bahawa sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba". Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.
Dalam situasi penjual yang menjadi orang tengah di antara pelanggan dan institusi kewangan ataupun bank kerana membantu dalam menguruskan hal-hal pembiyaan/pinjaman ianya adalah diharuskan. Walau bagaimanapun keharusan tersebut tertakluk kepada insitusi kewangan yang dipohon. Seandainya ia melibatkan institusi kewangan Islam, maka ia diharuskan. Namun, jika ia melibatkan institusi kewangan konvensional, maka ia diharamkan. ini berdasarkan kepada firman Allah SWT di dalam surah Al-Maidah, ayat 2:
وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).
والله أعلم بالصواب