Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum...16 tahun lalu saya pernah menggunakan nama kawan untuk loan motor. Dua tahun kemudian saya di berhentikan kerja dan motor kena tarik.saya pernah berbincang hal tersebut dgn si kwn tp dia mengelak katanya benda dh lepas.tahun lepas,2021 kawan meninggal.jadi adakah tunggakan motor yang kena tarik di kira hutang?kalau hutang pada siapa saya perlu bayar,pada waris si mati atau debt collector?
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Membayar hutang adalah wajib dan berdosa jika tidak membayarnya. Ini jelas berdasarkan hadis Rasulullah SAW, antaranya hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ أَخَذَ أَمْوَالَ النَّاسِ يُرِيدُ أَدَاءَهَا أَدَّى اللَّهُ عَنْهُ، وَمَنْ أَخَذَ يُرِيدُ إِتْلاَفَهَا أَتْلَفَهُ اللَّهُ
Maksudnya: Barangsiapa yang mengambil harta manusia (berhutang) dengan niat untuk membayarnya semula, maka Allah SWT akan menunaikannya untuknya. Barangsiapa yang mengambil harta manusia (berhutang) dengan niat untuk menghabiskannya tanpa membayar balik, maka Allah SWT akan membinasakan dirinya. (Riwayat Al-Bukhari)
Begitu juga hadis yang diriwayatkan daripada Suhaib RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
أَيُّمَا رَجُلٍ يَدِينُ دَيْنًا وَهُوَ مُجْمِعٌ أَنْ لَا يُوَفِّيَهُ إِيَّاهُ لَقِيَ اللَّهَ سَارِقًا
Maksudnya: Sesiapa sahaja yang berhutang lalu berniat untuk tidak mahu melunaskannya, maka dia akan bertemu Allah (pada hari Kiamat) sebagai seorang pencuri. (Riwayat Ibn Majah)
Merujuk kepada persoalan tuan, yang mana tuan telah menggunakan nama kawan untuk membuat pinjaman kenderaan, ianya adalah dibenarkan oleh syarak dengan syarat telah mendapat persetujuan terlebih dahulu daripada kawan tuan. Dari segi hukum Islam, kawan tuan tidak dikira berhutang dengan pihak tertentu melainkan tuan yang perlu menjelaskan hutang tersebut. Sekiranya tuan meninggal dunia, hutang tersebut juga perlu dilangsaikan oleh waris tuan sekiranya mampu. Sekiranya tuan ingin menyelesaikan tunggakan tersebut, perlu menyelesaikannya kepada pihak institusi kewangan yang terlibat (Debt Collector).
Namun dari segi undang-undang Malaysia, kawan tuan adalah bertanggungjawab dengan pinjaman tersebut walaupun ianya sekadar meminjamkan nama. Ini adalah risiko yang nyata sekiranya memberi kebenaran untuk meminjamkan nama bagi proses pinjaman.
والله أعلم بالصواب