BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalaamua'laikum Dato Seri Mufti..soalan saya..apakah hukum tidak telus dan tidak jujur dalam penyediaan dokumen bagi permohonan Jual Beli Rumah (perbankan islam)? Jika permohonan tersebut berjaya apakah hukum rumah yang dimiliki itu? Adakah ianya Harta yang haram?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

 Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan, perbuatan menipu dalam penyediaan dokumen bagi permohonan Jual Beli Rumah (perbankan Islam) adalah jelas menyalahi peraturan serta syarat yang termaktub di dalam perjanjian yang telah ditetapkan oleh pihak bank. Ia juga merupakan suatu perbuatan yang amat dimurkai oleh Allah SWT. Islam melihat bahawa perbuatan menipu atau berbohong sebagai salah satu sifat orang munafik. 

Hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 آيَةُ المُنافِقِ ثَلاثٌ: إذا حَدَّثَ كَذَبَ، وإذا وعَدَ أخْلَفَ، وإذا اؤْتُمِنَ خانَ

Maksudnya: Tanda orang munafik tiga; apabila berkata ia berbohong, apabila berjanji mengingkari, dan apabila dipercaya mengkhianati. (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

Perbuatan menipu atau berbohong turut menjadi salah satu faktor hidup manusia menjadi tidak tenang dan tidak bahagia. Hadis yang diriwayatkan daripada Hasan bin Ali RA, dia berkata; aku telah menghafal sebuah hadis Rasulullah SAW, sabdanya:

دَعْ مَا يَرِيبُكَ إِلَى مَا لَا يَرِيبُكَ، فَإِنَّ الصِّدْقَ طُمَأْنِينَةٌ، وَإِنَّ الكَذِبَ رِيبَةٌ 

Maknanya: Tinggalkanlah perkara yang meragukanmu, dan ambillah perkara yang tidak meragukanmu. Sesungguhnya jujur itu akan mententeramkan hati dan dusta akan menggusarkan hati. (Riwayat Al-Tirmizi).

Jelas Islam melarang keras perbuatan tersebut dan ianya berdosa. Mana-mana pihak yang terlibat dalam penipuan ini  perlu bertaubat atas kesilapan ini serta berazam tidak akan mengulanginya lagi. Adapun rumah yang diperolehi atas dasar penipuan itu merupakan pemilikan yang sah. Namun dikhuatiri kurang mendapat keberkatan. 

 


Tahun Soalan : 2022
Jumlah Pelawat : 139

message user image