Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
1) Jikalau kita menjadi orang tengah serta wakil kepada sesuatu kedai tempahan barang yang mana menggunakan akad salam, akan tetapi, kita meletakkan syarat dengan kedai tersebut bahawa kita tidak akan serahkan wang pelanggan apabila mempunyai tempahan kepada kedai tersebut sehinggalah barang itu sudah siap dan boleh untuk diserahkan kepada pelanggan oleh kita. Syarat ini juga dipersetujui oleh kedai tersebut kerana sebagai orang tengah, pelanggan akan mencari kita untuk menuntut ganti rugi sekiranya kedai tersebut melakukan penipuan dan sebagainya dan bukannya mencari kedai kerana mereka melakukan tempahan melalui kita sebagai orang tengah. Adakah dibolehkan cara sebegini? hal ini disebabkan zohirnya masih patuh akad salam kerana pelanggan membayar penuh kepada kita sebagai wakil kedai dan orang tengah(termasuk upah kita yang dipersetujui oleh kedai), cuma kita meletakkan syarat dan kedai bersetuju dengannya yang mereka tidak akan mengambil duit bayaran pelanggan dari kita sehingga barang itu sudah siap.
2) Adakah dibolehkan bagi kita sebagai wakil dan orang tengah kedai tersebut untuk menggunakan wang pelanggan yang diterima untuk melakukan pelaburan dan lain-lain dalam tempoh menunggu tempahan itu siap sekiranya kedai tersebut mengizinkan? Malah, semua keuntungan akan pergi kepada kita hasil daripda pelaburan tersebut juga mendapat izin dari kedai tersebut, adakah dibenarkan?
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Akad Bay’ al-salam (بيع السلم) iaitu jual beli sesuatu barangan secara tangguh dengan bayaran harga secara tunai, seperti menjual barangan yang telah disifatkan butiran bentuk, spesifikasi, kualiti dan kuantiti secara terperinci dengan bayaran harganya dibuat secara tunai, manakala penyerahan barang ditangguhkan pada suatu masa yang ditetapkan.
Antara syarat-syarat Bay’ al-salam adalah hendaklah sighah atau lafaz kontrak dengan jelas menyebut kriteria barang jualan, masa penyerahan dan pemberian, serta lafaz salam atau salaf yang jelas menunjukkan niat untuk suatu kontrak pendahuluan modal.
Dalil keharusan Bay’ al-salam berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Bin Abbas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ أَسْلَفَ فِى شَىْءٍ فَفِى كَيْلٍ مَعْلُومٍ وَوَزْنٍ مَعْلُومٍ، إِلَى أَجَلٍ مَعْلُومٍ
Maksudnya: “Barangsiapa yang berjual beli salaf (salam) hendaklah dia berjual beli dengan sukatan yang dimaklumi, timbangan yang dimaklumi dan tempoh yang dimaklumi.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Selain akad Bai’ al-salam. terkait dengan persoalan ini adalah Bai` al-Istisna’ (Tempahan) iaitu amalan ini merujuk kepada tindakan meminta seseorang yang berkemahiran supaya membuat sesuatu berdasarkan ciri-ciri tertentu yang berkaitan dengan kemahirannya, manakala bahan yang digunakan disediakan oleh pembuat.
Merujuk kepada soalan yang diajukan:
1. Tidak terdapat sebarang larangan dari segi syarak bagi pihak tuan sebagai wakil kedai untuk membuat syarat yang sedemikian demi menjaga kebaikan mahupun risiko yang pihak tuan hadapi selama perkara tersebut dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak. Ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
المسلمونَ على شروطِهم
Maksudnya: Orang muslim dipegang atas syarat-syarat mereka (perjanjian yang dipersetujui). (Riwayat Abu Daud).
2. Pada dasarnya, tuan adalah wakil kepada pihak kedai. Oleh itu, tindakan tuan menerima tempahan serta menerima pembayaran daripada pelanggan sebagai wakil daripada pihak kedai menggunakan akad salam atau jual beli tempah sebagai mana yang dinyatakan. Ini bermaksud pembayaran yang tuan terima dari pihak pelanggan adalah milik kedai. Oleh yang demikian, tuan tidak dibenarkan untuk menggunakan wang pembayaran tersebut untuk sebarang penggunaan melainkan dengan keizinan daripada pihak kedai sebagai pemilik wang tersebut. Namun, seandainya pihak kedai mengizinkan kepada tuan untuk menggunakan wang pembayaran tersebut, maka tuan boleh menggunakannya wang tersebut untuk sebarang penggunaan termasuk meletakkannya di dalam pelaburan dan hasil pelaburan tersebut adalah milik tuan. Wang pembayaran yang tuan gunakan itu dianggap sebagai hutang tuan kepada pihak kedai dan wajib dikembalikan apabila diminta.
والله أعلم بالصواب