Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum w.b.t....
saya ada beberapa soalan untuk ditanyakan.
1) Adakah pembedahan secara batin dibenarkan di dalam agama islam? dan apakah hukumnya sekiranya kita pernah pergi melihat pembedahan secara batin itu.?
2) bolehkah seseorang memakai cincin yang telah dibaca kan ayat & disebutkan nama orang yang hendak dilindungi berbin / bintikan nama ibu ( bacaan kurang jelas) sebagai pelindung diri dan keluarga.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada soalan yang diajukan,
1. Perubatan Islam menolak sama sekali kaedah pembedahan batin kerana ia tiada dalam hadis mahupun al-Quran serta tidak diiktiraf oleh imam-imam muktabar. Ini kerana pembedahan kaedah itu didapati menggunakan khidmat makhluk lain seperti jin dan ia jelas bertentangan dengan Islam. Kedapatan pihak-pihak terlibat dalam pengamalan pembedahan batin ini yang memberi hujah kononnya pembedahan cara ini telah digunakan oleh Malaikat Jibrail ketika ‘menyucikan’ hati Nabi Muhammad SAW sedangkan ia adalah mukjizat dan tidak boleh dikiaskan dengan makhluk lain. Lantaran daripada itu, kami nyatakan dengan tegas bahawa pembedahan secara batin ini merupakan teknik pembedahan yang meragukan kerana beberapa perkara antaranya ia adalah kaedah rawatan yang pelik, di luar kebiasaan serta bercanggah dengan akal.
Secara umumnya jika hadir sekadar untuk menyaksikan tanpa ada niat lain maka ia tidaklah berdosa tetapi mengelak serta menjauhkan diri dari menyaksikan kaedah rawatan yang misteri seperti ini adalah lebih baik.
2. Memakai cincin yang telah dibacakan ayat dan disebutkan nama orang yang hendak dilindungi berbin/bintikan nama ibu dengan (bacaan kurang jelas) sebagai pelindung diri dan keluarga adalah perbuatan khurafat yang mesti dijauhi, orang beriman wajib meyakini bahawa Allah SWT sahajalah Tuhan Yang Maha Melindungi hamba-Nya dari segala kecelakaan dan bukannya dari cincin yang dipakai dan dibacakan dengan sesuatu bacaan yang tidak dapat dipastikan bacaannya. Firman Allah SWT dalam surah al-An'am ayat 51:
Maksudnya: Tiadalah bagi mereka pelindung dan tidak juga pemberi syafaat yang lain dari Allah, supaya mereka bertaqwa.
Mohonlah perlindungan daripada Allah SWT semata-mata tanpa perlu kepada cincin atau perkara lain yang tidak memberi manfaat dan mudharat melainkan semua itu atas kehendak dan ketentuan Allah SWT.
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.