BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, izinkan saya bertanya. Saya berada di tempat kerja baru dan di sekitar kawasan tempat bekerja terdapat anjing, pada hari tersebut saya meletak sandal saya di luar dan bila saya keluar untuk ambil, saya nampak sandal saya terusik serta basah mungkin disebabkan hujan dan kebetulan terdapat beberapa ekor anjing sedang berehat berdekatan tempat itu, jadi saya agak was was sama ada ia disebabkan anjing atau orang yang lalu lalang.  Maka persoalannya:

1.adakah saya perlu sertu sandal saya?

2.apakah hukum jika saya yakin dan tidak menyertu walhal sebenarnya saya perlu menyertu?

3.bagaimana hukum terhadap ibadah pada mereka yang tidak menyertu?

Terima kasih kerana menyediakan platform bagi soal jawab agama. Kerjasama dan maklum balas pihak tuan/puan amat dihargai.

Sekian,terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan tuan:

1). Pada dasarnya sesuatu benda adalah suci kecuali telah jelas padanya terdapat najis. Asal kepada sesuatu yang bersih itu kekal dianggap bersih sehingga terbukti secara yakin ia telah dicemari oleh najis. Andaian ataupun syak tidak mengubah status asal yang bersih itu. Sebagaimana kaedah fiqh:

اليقين لا يزال بالشك

Maksudnya: Keyakinan tidak dihilangkan oleh keraguan (syak).

Oleh itu, jika jelas terbukti sandal tersebut terkena najis mughallazah, seperti terdapat ain najis atau melihat sendiri anjing menjilat sandal tersebut, maka sandal tersebut perlu disertu selepas dihilangkan ain najis tersebut. Jika tiada najis anjing pada sandal tersebut, maka tidak perlu disertu. 

2) Apabila meyakini terdapatnya najis anjing pada sandal tersebut dan tidak dibersihkan, maka tuan akan sentiasa dalam keadaan menanggung najis dan semestinya akan mengakibatkan ibadah solat tidak sah serta boleh menjadikan kawasan atau tempat yang tuan pijak sama ada dengan sandal atau kaki akan menjadi najis sekiranya dalam keadaan yang basah.

Oleh itu, disarankan supaya tuan lebih prihatin terhadap isu najis dengan segera mensucikannya dengan cara yang betul. Ini adalah bagi mengelakkan dari timbul permasalahan serta rasa bersalah pada masa akan datang.

3) Hukum terhadap ibadah pada mereka yang tidak menyertu tidak sah solatnya kerana berada dalam keadaan bernajis. Sehubungan itu, sudah menjadi satu kewajipan bagi seorang muslim untuk mengambil berat dan meneliti hal ehwal ibadahnya terutamanya yang berkaitan dengan perkara asas seperti bersuci. Melalui firman Allah SWT dalam Surah al-Taubah ayat:108:

فِيهِ رِجَالٌ يُحِبُّونَ أَن يَتَطَهَّرُوا۟ ۚ وَٱللَّـهُ يُحِبُّ ٱلْمُطَّهِّرِينَ

Maksudnya: “Di dalam masjid itu ada orang-orang lelaki yang suka (mengambil berat) membersihkan (mensucikan) dirinya; dan Allah Mengasihi orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin).

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2022
Jumlah Pelawat : 135

message user image