BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Salam,

Saya ingin bertanyakan utk status ini. 

Saya mempunyai seorang kenalan lelaki, beliau telah pun berkahwin.  Selepas beberapa tahun berkahwin beliau dan juga isteri tidak lagi tinggal bersama dan segala nafkah mahupun tanggungjawab samada si isteri mahupun beliau sendiri tidak pernah berlaku seperti sepasang suami isteri, dan untuk pengetahuan juga masing-masing tau dimana tinggal, maksud saya isterinya juga tau dimana beliau tinggal dan beliau juga tau dimana si isteri tinggal, boleh dikatakan mereka tidak pun bergaduh, tidak juga ada masalah lain. Boleh dikatakan macam masing-masing membawa haluan masing-masing tanpa berlaku tjawab zahir atau batin seperti org yg dh nikah. Hal ini berlarutan sehinggalah sampai ke hari ini. Diam tidak diam tahun ni (2022) telah pun hampir 6tahun perkara ni berlarutan. 

Saya ada menegur beliau, kerana si isteri agak berpakaian yg menjolok mata. 

Pertanyaan saya ialah :-

1.   Apakah status beliau dan juga isterinya? Adakah masih sah sebagai suami isteri?

 

2.   Adakah beliau tetap menanggung segala dosa yg dibuat oleh si isteri setiap kesalahan yg melanggar hukum hakam agama? (salah satu ialah sperti tak tutup aurat)

 

3.   Pada 2tahun lepas beliau ada berhubung dgn si isteri dan menyatakan untuk failkan penceraian, dan si isteri tlh pun bersetuju, namun masih lagi tidak berlaku kerana disebabkan PKP dan tangguh2. Adakah beliau & isteri  masih sah walaupun penceraian ini belum lagi dilafazkan di makhamah mahupun diluar makhamah. Maksud saya, mereka cuma berbincang dan masing2 bersetuju..

Mohon untuk ustaz & ustazah untuk menjawabnya.

Sekian, terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

1. Selagi tiada perkara atau tindakan yang boleh menyebabkan terbatalnya sesuatu pernikahan, maka pernikahan tersebut adalah masih sah dari sudut hukum syarak. Antara perkara yang boleh membatalkan ikatan sesuatu perkahwinan adalah berlakunya perceraian yang dilafazkan samada secara sorih atau kinayah atau melalui tuntutan fasakh dan khulu'.

2. Bagi menjawab persoalan kedua ini, si suami sama sekali tidak akan menanggung dosa isterinya jika si suami itu telah melaksanakan tanggungjawabnya dengan sebaik mungkin. Adapun, jika si isteri masih melakukan perkara maksiat setelah ditegur atau dinasihati oleh suaminya atau si isteri melakukan maksiat di belakang suaminya tanpa pengetahuan suami maka si isteri itu tetap berdosa dan suami tidak akan sama sekali menanggung dosa-dosa tersebut. Ini kerana, tanggungjawab suami adalah untuk menasihati isteri kerana ia merupakan satu kewajipan yang perlu dilakukan dan perkara itulah yang akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT di akhirat kelak jika suami cuai dalam melaksanakan hal tersebut.

3. Selagi belum berlaku apa-apa lafaz cerai samada secara sorih atau kinayah, samada dalam mahkamah atau luar mahkamah, maka perceraian itu masih belum berlaku. Kalau pasangan itu baru berbincang dan bersetuju untuk uruskan perceraian di mahkamah, maka ia tidak menyebabkan pasangan tercerai, mereka masih lagi kekal sebagai suami isteri sehinggalah berlakunya proses perceraian mereka di mahkamah nanti.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2022
Jumlah Pelawat : 124

message user image