Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Salam, kebanyakan rumah jenis kondominium mempunyai kolam renang dan gymnasium, semua penduduk akan membayar duit penyelenggaraan untuk menyelenggara semua kemudahan di kondominium tersebut. Adakah pembayar juga akan berdosa sekiranya kemudahan itu digunakan oleh orang lain sama ada Islam atau bukan Islam jika berlaku percampuran lelaki dan perempuan atau jika aurat tidak ditutup? Terima Kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, penduduk yang membayar duit penyelenggaraan bagi kemudahan mereka di kondominium tidaklah menanggung dosa mereka yang menggunakan kemudahan tersebut, kerana setiap orang Islam yang baligh, mumaiyiz, berakal, dan waras adalah dipertanggungjawabkan perbuatan baik dan buruk mereka ke atas diri masing-masing. Siapa yang melanggar peintah Allah dan melakukan dosa, mereka tidak menanggung dosa orang lain, melainkan dosa dirinya sendiri, Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Isra' ayat 15 :
Maksudnya : Sesiapa yang mendapat hidayah petunjuk (menurut panduan al-Quran), maka sesungguhnya faedah hidayah petunjuk yang didapatinya itu terpulang kepada dirinya sendiri. Dan sesiapa yang sesat, maka sesungguhnya dia menanggung sendiri (kerugian) akibat kesesatan dirinya sendiri. Dan seseorang yang berdosa tidak dapat menanggung dosa orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja) dan Kami tidak akan mengazab sebelum Kami mengutus seorang Rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah).
Namun, jika tidak demikian (kerana ada share (premis bersama)), maka tetap dapat dosa kerana tidak mencegah kemungkaran.
Sekian, terima kasih.